MELAKA: Keputusan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengundang perspektif negatif rakyat.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, tujuh kegagalan kerajaan yang diumumkan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu boleh juga menjadi sebahagian kegagalan UMNO, memandangkan tujuh menteri yang menjadi krisis Covid-19 datang daripada parti itu.
Beliau berkata, masalah ‘kerapuhan’ kerajaan ini tidak akan selesai selagi mana Presiden UMNO tidak tersenarai dan dilantik sebagai Perdana Menteri atau setidak-tidaknya Timbalan Perdana Menteri.
“Rombakan ini dilihat sebagai satu usaha menstabilkan pada zahir sahaja, namun ia masih lagi berduri di dalam, ia tidak tuntas selagi Presiden UMNO tidak tersenarai. Situasi akan hanya stabil bila Ahmad Zahid dilantik Perdana Menteri atau setidak-tidaknya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Kekeliruan ini hanyalah kerana kepentingan diri mengatasi oganisasi oleh seseorang, rakyat di akar umbi akan melihat UMNO sebagai pembuli dan penerimaan terhadap UMNO boleh jadi terhakis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, bekas Ketua Menteri itu turut mempersoal status kerajaan negeri diketuai UMNO seperti Melaka, Johor dan Perak, sama ada ia sudah bergelar negeri pembangkang memandangkan tidak lagi sehaluan dengan Perdana Menteri.
“Umpama teratai, pucuk tak sampai langit, akar tak sampai bumi. UMNO tarik sokongan tapi menyerahkan kepada ahli Parlimen untuk terima jawatan yang ditawar atau tidak,” ujarnya. – UTUSAN










