Rentas negeri: Kompaun, arah patah balik - Utusan Malaysia

Rentas negeri: Kompaun, arah patah balik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada kompromi sebaliknya kompaun dikeluarkan serta-merta selain wajib berpatah balik kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan cuba merentas negeri terutamanya menjelang sambutan Aidiladha hari ini.

Amaran itu dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan terdapat 70,419 permohonan rentas negeri dan daerah diterima PDRM.

Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, daripada jumlah itu, hanya 66,227 permohonan rentas negeri dengan alasan munasabah seperti kematian dan kecemasan diluluskan.

ZAINAL ABIDIN KASSIM

Bagaimanapun,menurut beliau, sebanyak 4,192 permohonan ditolak sebab alasan dikemukakan tidak mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

“Sebanyak 13,177 kenderaan di arah berpatah balik selepas dikesan cuba masuk ke beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur pada Jumaat lalu sehingga semalam.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 1,323 kompaun dikeluarkan kepada individu berkenaan kerana melanggar SOP PKP,” katanya.

Zainal Abidin berkata, jumlah Sekatan Jalan Raya (SJR) masih kekal sama seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, tambah beliau, pihaknya akan terus memperketatkan laluan-laluan tikus selain pemantauan berterusan oleh pasukan pemantau.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan surat kKementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak boleh digunakan untuk merentas negeri atau daerah bermula 18 Julai hingga Rabu ini.

Tindakan itu dibuat bagi mengelak perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyalah guna surat kebenaran MITI untuk merentas negeri bagi tujuan pulang ke kampung menyambut Aidiladha. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN