KLANG: Pekerja asing di kawasan Jalan Teratai, Meru di sini tidak mengendahkan larangan keluar rumah atau asrama, walaupun penguat kuasaan dilakukan oleh pengawal keselamatan termasuk polis bantuan syarikat majikan mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa petugas keselamatan dan anggota polis bantuan kilang berhampiran kawasan itu meningkatkan kawalan, memantau pergerakan dan mengarahkan mereka supaya tidak keluar rumah.
Namun, walau ‘dijerkah’, masih terdapat pekerja asing tidak menghiraukan arahan itu dan terus berada di luar rumah atau asrama masing-masing.
Segelintir lagi dikesan keluar menerusi laluan belakang kawasan asrama untuk mengelak daripada ditemui polis bantuan.
Bagaimanapun, ketika memerhatikan gerak-geri mereka, pekerja asing yang dipercayai membabitkan warga Bangladesh itu keluar ke kedai secara beramai-ramai sama ada berjalan kaki atau pun menaiki basikal.
Ramai kalangan mereka mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak memakai pelitup muka dengan betul selain tidak menjaga penjarakan sosial.
Pakar Psikologi Universiti SEGi, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor menjelaskan, terdapat banyak faktor kenapa pekerja asing ‘degil’ dan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk tekanan dihadapi dalam rumah atau dalam asrama itu sendiri.
“Kalau kita rakyat tempatan sendiri, kita di lokasi berjauhan dengan ibu bapa pun agak tertekan kerana sudah lama tidak jumpa. Tetapi dengan suasana rumah kita itu masih ada juga ruang untuk bergerak.
“Kalau dalam keadaan satu rumah yang dimuatkan 10 orang dalam keadaan yang sempit dan sebagainya, suasana tidak selesa itu sendiri boleh menjadi punca utama tekanan dan memberikan impak psikologi dan emosi serta kesan sosialisasi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, beliau menggesa vaksin Covid-19 diberikan segera kepada pekerja asing yang tinggal secara beramai-ramai dalam satu kawasan, malah untuk mengurangkan risiko kejiranan warga tempatan juga perlu diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin. – UTUSAN











