SHAH ALAM: Ahli keluarga waris jenazah mangsa Covid-19, khususnya yang beragama Islam tidak perlu risau dengan perancangan Kerajaan Negeri menguruskan pengebumian secara berpusat bagi mengurangkan kesesakan di jabatan forensik hospital awam.
Proses pengurusan termasuk tayamum, kafan dan pengebumian itu bukan sahaja perlu mengikut garis panduan Jabatan Mufti Selangor, malah dipantau pegawai agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Hal itu dijelaskan, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Selangor, Muhamad Shukry Sulaiman yang meminta ahli keluarga waris tidak bimbang dengan pengurusan jenazah termasuk proses pengebumian.
Beliau berkata, matlamat pengurusan jenazah dilakukan pihak hospital yang dibantu jabatan-jabatan kerajaan lain adalah bertujuan memutuskan rantaian Covid-19 supaya ahli keluarga tidak terkena jangkitan.
“Kaedah tersebut dibincangkan bersama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan pada peringkat permulaan dengan mengadakan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan Covid-19 merebak.
“ Biasanya ada seorang pegawai Kementerian Kesihatan yang melihat proses dan memastikan petugas memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan ada pegawai agama sama ada dari masjid seperti imam yang memantau seluruh proses pengebumian itu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Muhamad Shukry menambah, keraguan dalam kalangan ahli keluarga tidak perlu timbul berikutan petugas-petugas sudah dilatih untuk melaksanakan tanggugjawab mereka semaksimum mungkin bagi mematuhi syarak.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan kerajaan negeri mengambil inisiatif melaksanakan pengurusan jenazah Covid-19 secara berpusat bagi membantu mengatasi kesesakan di jabatan forensik hospital seluruh negeri dan mengelakkan waris menunggu terlalu lama.
Sejajar langkah itu, Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Klang dipilih sebagai tempat pengebumian jenazah mangsa Covid-19.
Dalam pada itu, Muhamad Shukry turut memaklumkan, tanggungjawab waris bukan sahaja tamat apabila menguruskan pengebumian jenazah ahli keluarga mereka sahaja sebaliknya banyak ibadah lain yang boleh dilakukan untuk menyampaikan pahala kepada arwah.
“Talkin itu adalah satu perkara yang sunat dalam mazhab Imam Syafie, tetapi tidak semestinya di hadapan kubur. Bacaan dalam talkin itu hanyalah peringatan boleh dibuat secara maya dan ramai orang sudah lakukannya.
“Tetapi selepas itupun lagi banyak tanggugnjawab dan peranan ahli keluarga untuk menghadiahkan pahala seperti mendoakan arwah dan bersedekah serta amalan anak-anak soleh yang mana pahala itu masih berpanjangan,” jelasnya. – UTUSAN










