MT UMNO tentukan sokongan kepada PN malam ini - Utusan Malaysia

MT UMNO tentukan sokongan kepada PN malam ini

Majoriti MT UMNO setuju sokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas bercanggah sama ada keluar daripada kerajaan atau sebaliknya dalam kalangan ahli Parlimen UMNO, kecelaruan itu akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti yang dijadual malam ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber yang juga pemimpin kanan UMNO berkata, keputusan malam ini akan menjadi hala tuju UMNO sebagai salah sebuah parti yang membolehkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertahan sehingga ke hari ini.

Mesyuarat berkenaan adalah respons kepada tempoh 14 hari yang diberi kepada kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen dalam masa terdekat.

“Nak atau tidak, UMNO akan buat keputusan esok (hari ini). Sudah pasti ia akan membincangkan mengenai hala tuju parti dan Kerajaan PN sama ada UMNO perlu kekal atau keluar,” kata sumber iu ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, menurut sumber tersebut, keputusan yang akan dibuat dijangka lebih cenderung ke arah perpaduan kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat cuba mengelak daripada berlaku perpecahan.

Ia juga selepas mengambil kira pandangan ahli Parlimen yang lebih cenderung untuk terus bersama Kerajaan PN sehingga pilihan raya diadakan.

“Ahmad Zahid panggil ahli Parlimen kelmarin sebab nak tahu pendirian mereka. Kemudian pendirian itu akan dibawa ke mesyuarat MT, jadi terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” kata sumber itu.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan terdapat pertemuan sekumpulan ahli Parlimen UMNO di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di ibu negara yang memfokuskan kepada isu iaitu sama ada parti tersebut perlu atau tidak meninggalkan Kerajaan PN.

Bagaimanapun difahamkan,dalam kalangan ahli-ahli parlimen yang ditemui tersebut didakwa mempunyai perasaan berbelah bahagi.

Ahmad Zahid pula didakwa lebih berpendapat, ‘sudah tiba masanya’ untuk ahli Parlimen UMNO keluar daripada kerajaan.

Bagaimanapun, sebahagian ahli Parlimen diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera) tidak bersetuju dan pendapat itu disokong Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

“Noh berpandangan sekarang bukan masa sesuai menarik diri kerana Parlimen belum bersidang. Nak ambil tindakan pun, tunggu sampai Parlimen dibuka dulu.
“Tajuddin pula menyatakan ‘sebelum ini kita dah buat macam-macam tapi semua tidak menjadi. Dulu pun ada benda yang kita tidak bersetuju dengan Presiden, tapi kita ikutkan juga, macam-macam masalah timbul’. Itu kata Tajuddin dalam perjumpaan tersebut.
“Bagaimanapun, Hishammuddin (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) yang turut hadir hanya berdiam diri sepanjang pertemuan tersebut,” kata sumber.
Sebelum itu, Presiden UMNO turut memanggil setiap ahli MT untuk menandatangani surat supaya UMNO keluar daripada kerajaan dalam masa terdekat.

Difahamkan, majoriti MT telah menyokong usaha berkenaan, sekali gus ia menunjukkan keputusan MT bercanggah dengan penegasan ahli Parlimen UMNO.

Bagaimanapun, jika malam ini UMNO mengambil keputusan untuk bertindak sebaliknya, maka perpecahan akan berlaku membabitkan 16 ahli Parlimen UMNO yang merupakan sebahagian daripada MT.

Sebanyak 16 ahli Parlimen itu juga membabitkan golongan menteri dan timbalan menteri dalam kalangan orang UMNO yang kini di bawah pentadbiran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid didakwa mengakui suara di dalam rakaman telefon yang tular bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini adalah suaranya.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, satu sumber lain yang juga MT UMNO, Presiden parti membuat pengakuan itu semasa pertemuan bersama dengan ahli-ahli Parlimen UMNO kelmarin.

“Selain keputusan mesyuarat yang menolak cadangan menarik semula sokongan kepada kerajaan PN, beliau (Ahmad Zahid) mengaku itu suara beliau dalam perbualan bersama Anwar yang viral tidak lama dahulu. Ahmad Zahid mendakwa Anwar yang menghubunginya.

“Ahmad Zahid juga mengaku telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya semalam.

Sumber sama turut berkata, pada pertemuan itu, ahli-ahli Parlimen UMNO meminta agar Presiden menyokong salah seorang dalam kalangan mereka dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Difahamkan, pelantikan jawatan itu telah pun disuarakan kepada Perdana Menteri dan berharap Presiden dan Majlis Tertinggi UMNO mengiktiraf pelantikan itu dalam kalangan Ahli Parlimen sedia ada.

“Kita juga minta (kepada Perdana Menteri) satu kementerian baharu dibuat iaitu tambahan kementerian baharu kepada UMNO,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya