PETALING JAYA: “Ikutlah apa yang parti tetapkan untuk bertanding di mana-mana kerusi. Kalau tak bertanding pun tak mengapa, sebab saya Senator.”
Demikian tegas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kepada Utusan Malaysia mengenai kemelut yang mengatakan beliau akan ‘mengambil alih’ kerusi Parlimen Bagan Serai.
Perkara itu tular kelmarin selepas kenyataannya untuk bertanding di kerusi berkenaan disiarkan Utusan Online namun beberapa jam selepas itu, beliau menafikan perkara tersebut.
Jelasnya, beliau akan mengikut sepenuhnya pencalonan yang ditetapkan oleh parti dan sekiranya tidak dicalonkan, tidak mengapa, kerana beliau sekarang ini berjawatan Senator.
Kepada soalan sama ada beliau menyesal atau tidak jika tidak dicalonkan, beliau berkata: “Parti akan tentukan. Saya akur dengan apa sahaja keputusan parti.”
Mengenai soalan hala tuju politik selepas ini, beliau berkata, hala tuju sekarang adalah seperti yang diamanahkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu membantu kerajaan menjayakan misi Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurutnya, semua ahli Parlimen diberikan peruntukan Bakul Makanan RM300,000 bagi membantu rakyat yang kesusahan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Sebagai Ketua Armada Bersatu katanya, sayap itu sentiasa bersedia membantu masyarakat.
“Apabila tiba masa bertanding, saya sedia membantu parti memenangi kerusi dipertandingkan. Namun, sekarang bukanlah masanya kerana ‘gelanggang’ pilihan raya belum dibuka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kerusi Parlimen Bagan Serai ketika ini disandang Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum beliau bertindak menyertai Bersatu.
Selain Bagan Serai, Wan Ahmad Fayshal juga dikatakan akan bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa. – UTUSAN










