SHAH ALAM: Jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 negara kini menghampiri angka 1 juta kes dengan 15,902 kes baharu direkodkan semalam, menjadikan kes keseluruhan bertambah kepada 996,393 setakat ini.
Selangor terus berada di kedudukan teratas dengan melepasi 7,000 kes, dua hari berturut-turut. Mengikut rekod, jangkitan dicatatkan sepanjang tahun lalu sebanyak 113,010 kes dengan 471 jumlah kematian.
Namun dari Januari tahun ini sehingga semalam, angka jangkitan melonjak lapan kali ganda berbanding tahun lalu iaitu 883,383 kes manakala kematian sebanyak 7,431 kes. Jumlah keseluruhan kematian setakat ini adalah 7,902 kes.
Melihat kepada angka tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi Mingguan Malaysia mengakui sistem kesihatan awam, baik di Selangor malah seluruh negara sudah lumpuh.
Ini jelasnya, susulan angka jangkitan harian terus meningkat kepada lebih 15,000 sejak kelmarin.
Menurut beliau, punca kepada situasi tersebut didakwa disebabkan kegagalan mengesan kontak rapat pesakit Covid-19 seterusnya mengakibatkan kes jangkitan harian terus meningkat.
“Sekarang ini, ada doktor memberitahu, kita kena beranggapan semua orang yang kita jumpa itu positif.
“Jadi maknanya kita semua kena berjaga-jaga, sebab kita tidak tahu siapa yang positif sekarang,” kata beliau yang bimbang dengan perkembangan pandemik tersebut yang tiada tanda-tanda untuk pulih.
Katanya, sistem kesihatan awam negara didakwa sudah pun gagal khususnya di Selangor apabila beberapa hospital utama menerima kehadiran pesakit terlalu ramai dan situasi terbabit bukan perkara biasa sebaliknya serius.
“Kegagalan sistem kesihatan bukan lagi sesuatu yang mengejutkan. “Ya, bukan sahaja DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah) beritahu tetapi perkara itu semua orang tahu.
“Sebab di Selangor sendiri, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) kita semuanya overload, hospital dan doktor pun sama. Kita dalam krisis dan duduk dalam warzone sebenarnya ketika ini,” tegas beliau.
Menjelas lanjut, Mariah memberitahu, pasukan petugas khas sudah tidak berupaya mengesan indek kes wabak dan penularan yang sedang berlaku sebenarnya bukan kes sporadik.
“Kadang-kadang orang kata kes sporadik, sebenarnya bukan. Ada kaitan kes-kes tersebut tetapi tidak dapat dikesan, punca utamanya adalah kegagalan contact tracing kita pada awal dahulu.
“Kalau kesihatan awam, penyakit berjangkit lain kita dapat membendung penyakit berjangkit itu. Kita sekarang dalam pandemik dan sesetengah pendapat kata kita sudah endemik,” kata beliau.
Dalam pada itu, Mariah berkata, beliau bersetuju dengan pandangan beberapa doktor perubatan yang memberitahu semua orang perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan beranggapan semua orang adalah positif.
Terdahulu pada 10 Julai lalu, Noor Hisham menjangkakan kes jangkitan Covid-19 akan menunjukkan penurunan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.
Bagaimanapun, jangkaan Ketua Pengarah Kesihatan itu meleset apabila pada 13 Julai lalu, kali pertama jangkitan seluruh negara melepasi lima angka iaitu 11,079 kes.
Semalam, negara terus mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 15,902 kes dengan jumlah kematian sebanyak 184 kes makala Selangor berterusan menjadi negeri dengan jumlah jangkitan paling ramai iaitu, 7,351 kes dengan 87 kematian.
Sementara itu, Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pula berkata, beliau tidak terkejut dengan laporan kes terkini, malah menjangkakan jumlah akan terus meningkat berikutan pelaksanaan ujian saringan bersasar di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menurut beliau, ujian saringan bersasar itu sepatutnya dilakukan ketika kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada Januari lalu.
“Sekarang ini, angka tidak akan turun kerana Kementerian Kesihatan baru buat ujian (saringan besar-besaran bersasar). Saya pernah meramalkan apa yang berlaku pada hari ini. Kita boleh pergi sampai 20,000 dengan Selangor akan pergi sehingga 10,000.
“Saya tidak takut mengatakan demikian, Selangor baharu 7,000 kes, tetapi saya sudah ramal sebab atas dasar yang sama. Apabila kita betul-betul menjalankan usaha Cari, Kesan, Uji, Asing dan Sokong (FTTIS), seolah-olah kita nampak anai-anai, kita cari dan pusingkan kayu kita akan temui. – MINGGUAN










