Isu sumbangan kontena simpan mayat selesai - Utusan Malaysia

Isu sumbangan kontena simpan mayat selesai

KONTENA penyimpanan mayat yang ditempatkan di luar Jabatan Forensik HTAR Klang. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengesahkan isu kontena penyimpanan mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor sudah diselesaikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, sumba­ngan sebuah kontena daripada seorang individu yang sebelum itu didakwa ditolak oleh pihak hospital juga sudah diterima.

Malah, katanya, HTAR pada masa sama turut membeli lapan lagi kontena penyimpanan mayat yang baharu, sekali gus menyelesaikan penyimpanan ma­yat mangsa Covid-19.

“Sumbangan (daripada individu) tersebut diterima, malah hari ini (semalam) lapan kontena baharu sampai yang dibeli HTAR, tapi tidak bertindih de­ngan sumbangan satu kontena ini,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, tular rakaman video yang menyaksikan keada­an mayat di hospital terbabit yang tidak dipindahkan ke dalam tempat penyimpanan kerana kekurangan tempat.

Ekoran itu, seorang individu bertindak membeli sebuah kontena berharga RM35,000 khas untuk disumbangkan kepada hospital itu bagi memudahkan pengurusan mayat.

Namun, lelaki berkenaan mendakwa bantuan tersebut tidak diterima HTAR.

Bagaimanapun, HTAR menerusi laman Facebooknya memaparkan video daripada lelaki sama menunjukkan pemberian tersebut diterima dan beliau mengucapkan terima kasih kepada

Kementerian Kesihatan kerana memudahkan urusan bagi membolehkan kontena itu diletakkan di Jabatan Forensik HTAR.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Kesihatan sama ada Menteri, Ketua Setiausaha dan Pengarah HTAR kerana memudahkan urusan kami untuk membantu pihak hospital dalam memberi sumbangan kontena tersebut untuk menyimpan mayat atau jenazah mangsa-mangsa Covid-19,” jelasnya.

HTAR dalam kenyataannya di Facebook tersebut juga menzahirkan penghargaan kepada MIC atas sumbangan kontena tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN