Hotel bajet lubuk persundalan - Utusan Malaysia

Hotel bajet lubuk persundalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berselindung di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) te­tapi rancak beroperasi sebagai sarang mak­siat.

Itulah kegiatan segelintir hotel bajet meneruskan operasi secara senyap-senyap dengan menawarkan perkhidmatan pelacur dalam kalangan wanita warga asing.

Siasatan Utusan Malaysia mendapati kegiatan pelacuran di premis-premis ini aktif, malah bapa-bapa ayam yang dipercayai berkomplot dengan tauke-tauke hotel giat mempromosikan ‘produk’ ma­­sing-masing menggunakan aplikasi media sosial antaranya Wechat, Michat, Bigo, Telegram dan WhatsApp.

Kegiatan itu sebelum pan­demik Covid-19 lagi, malah tidak tertumpu di sesebuah tempat sahaja, sebaliknya ditawarkan di seluruh negara dengan menggunakan hotel-hotel bajet berkenaan.

Modus operandinya adalah membayangkan kepada umum seolah-olah hotel mereka ditutup, sebaliknya menggunakan pintu rahsia atau berselindung di sebalik penutupan lampu dan pintu yang berkunci dan ia hanya dibuka jika menerima tempahan pelanggan.

Dalam siasatan Utusan Malaysia di ibu negara mendapati, hotel di sini cuba mengaburi mata pihak berkuasa di sebalik bangunan gelap yang jelas menunjukkan ia ditutup ekoran penularan wabak Covid-19.

Namun, sebaliknya berlaku apabila aktiviti tidak bermoral itu telah dijalankan di hotel berkenaan walaupun tempoh ‘berniaga’ terhad sehingga pukul 9.30 malam sahaja.

Kebiasaannya, sindiket ini membuat tawaran iklan di aplikasi Telegram dengan memaparkan gambar wanita asing berpakaian seksi bagi memancing lelaki berhidung belang.

Harga yang ditawarkan pula adalah antara RM220 sehingga RM260 seorang dengan langganan selama sejam.

Setiap pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan tersebut akan datang dan boleh memilih wanita yang mereka ingini di hotel tersebut.

Siasatan Utusan Malaysia turut mendapati hotel berkenaan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Selain itu, pihak sindiket turun mempunyai rangkaian lain di beberapa kawasan di sekitar ibu negara.

Wanita yang tinggal dan bekerja sebagai pelacur kebanyakannya datang ke negara ini sebelum penularan wabak Covid-19.

Utusan Malaysia turut difahamkan wanita yang sering menjadi pilihan pelanggan antaranya dari Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Sementara itu Alice, 28, gadis bertatu yang berasal dari Indonesia dan bekerja sebagai pelacur di sebuah hotel di ibu negara berkata, pelanggan tidak kisah dengan risiko jangkitan dan sanggup datang ke premis berkenaan ketika pelaksanaan PKP serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dia yang berasal dari Jakarta memasuki negara ini pada awal tahun 2020 tidak pasti anggaran secara tepat bayaran yang mampu diperoleh berdasarkan purata pendapatan bulanan.

“Saya datang ke sini untuk mencari wang sahaja. Di sini, tauke akan beri saya RM90 setiap pelanggan sebagai upah dan bayaran tempat tinggal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×