Hampir RM200 juta hasil laut dirampas dalam tempoh 18 bulan - Utusan Malaysia

Hampir RM200 juta hasil laut dirampas dalam tempoh 18 bulan

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som (tengah) , melihat empat bot nelayan Vietnam yang ditahan menerusi Op Kuda Laut Siri 3/2021 kerana menceroboh perairan negara ketika melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat APMM Terengganu pada 5 April 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pandemik Covid-19 yang terus melanda seluruh dunia tidak meredakan `rompakan’ hasil laut oleh nelayan asing dengan nilai rampasan direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hampir RM195.51 juta sepanjang tahun 2020 hingga Jun lalu.

Lebih malang, jenayah tersebut turut didalangi warga tempatan yang tergamak bersekongkol dengan nelayan asing sehingga membolehkan mereka terus berjaya menembusi perairan perikanan Malaysia.

Kegiatan itu mendatangkan kerugian besar kerana hasil laut negara mampu memberi pulangan tangkapan dianggarkan hampir dua juta tan metrik setahun untuk 80,000 nelayan di seluruh negara.

Kebanyakan nelayan asing yang ditahan pula memilih dikenakan hukuman penjara berbanding membayar denda sekali gus memberi kesan kepada kesesakan di pusat-pusat tahanan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd. Zubil Mat Som mendedahkan dalam tempoh 18 bulan itu, sebanyak 158 bot nelayan asing ditahan Maritim Malaysia di seluruh perairan negara.

Dalam tempoh sama, menurut beliau, agensi berkenaan menahan 1,524 kru bot iaitu melibatkan tekong, nelayan asing dan awak-awak.

Katanya, jumlah itu melibatkan seramai 965 orang untuk 2020 manakala bakinya sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

“Berdasarkan siasatan, kita dapati terdapat warga tempatan bersekongkol dengan nelayan asing sehingga mereka mampu masuk ke perairan perikanan negara.

“Malah, sumber laut di beberapa negara nelayan asing yang diancam kepupusan turut menyebabkan mereka terdesak mencuri hasil laut negara. Pencerobohan juga kerana industri perikanan antara menjadi sumber ekonomi utama negara jiran seperti Vietnam,” katanya di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zubil berkata, peruntukan akta dan undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan tersebut dilihat tidak efektif.

Menurut beliau, ini kerana sehingga kini tiada denda dibayar oleh penceroboh malah sebilangannya memilih menjalani hukuman penjara.

Jelasnya lagi, bot dan kapal asing yang mencerobohi perairan negara boleh didakwa di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi setiap pemilik bot dan denda RM600,000 bagi setiap anak kapal, jika disabitkan kesalahan.

“Jika tidak mampu membayar denda, pemilik bot boleh dipenjarakan selama setahun manakala anak kapal berhadapan dengan enam bulan penjara.

“Situasi ini merugikan negara menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos kehidupan pesalah selama tempoh tahanan maksimum setahun,” katanya.

Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainuddin mendedahkan, nilai kerugian negara berikutan hasil laut dicuri nelayan Vietnam pada tahun lalu sahaja dianggarkan kira-kira RM4 bilion.

Malah, menurut Hamzah, nelayan laut dalam di negara ini disaran mengurangkan pergantungan terhadap nelayan asing bagi mengatasi isu pencerobohan perairan negara.

Ujar beliau, pergantungan terhadap nelayan asing bagi kelas laut dalam amat tinggi sehingga 90 peratus terutama di Pantai Timur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×