MELAKA: Kira-kira 50 pekerja warga asing yang ditempatkan di sebuah penempatan di Pulau Melaka di sini hampir kebuluran selepas terputus bekalan makanan, berikutan majikan dan ejen pekerjaan didakwa tidak membayar gaji selain menghilangkan diri.
Kesemua yang menghuni 10 unit rumah sewa di situ terpaksa memberanikan diri memohon bantuan daripada bank makanan yang diusahakan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Poay Tiong memaklumkan, pihaknya menghantar 10 bakul makanan bagi meringankan bebanan yang sedang ditanggung warga Bangladesh, Nepal, India dan Indonesia berkenaan yang sebelum ini bekerja sebagai buruh binaan di projek tambakan laut Melaka Gateway.
“Mereka datang mengadu tiada makanan, beras tinggal sedikit, projek sudah berhenti, tak ada kerja dan majikan juga tak tahu di mana.
“Bagi saya, sifat kemanusiaan tidak boleh diketepikan pada waktu krisis sebegini. Covid-19 tidak mengenal bangsa dan agama, semua pun terkesan,” katanya ketika dihubungi.
Poay Tiong menambah, kumpulan warga asing itu didakwa mempunyai dokumen dan permit kerja yang sah, namun tidak dapat bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan bulan lalu kerana bukan berada dalam kumpulan perkhidmatan perlu.
“Selama tempoh itu, mereka beritahu saya hanya berharap kepada bantuan rakan senegara yang masih dapat bekerja terutamanya di sektor perkilangan,” jelasnya.
Sementara itu, Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA) tidak menerima sebarang laporan mengenai pekerja warga asing yang diabaikan oleh majikan mereka.
Pengerusinya, Datuk Foo Yong Hooi berkata, kebanyakan syarikat yang berdaftar di bawah persatuan itu masih menjaga kebajikan serta bertanggungjawab terhadap para pekerja.
“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ketika ini berdepan waktu sukar disebabkan pandemik Covid-19. Walaupun tidak mampu membayar gaji penuh, majikan tetap memberikan wang yang mencukupi untuk pekerja membeli makanan,” katanya ketika dihubungi.
Mengenai kejadian di Pulau Melaka itu, tegasnya tindakan tidak berperikemanusiaan itu bukan dilakukan oleh ahlinya.
Jelasnya, PAPA mewujudkan kumpulan aplikasi WhatsApp yang dianggotai semua ahli bagi memudahkan proses komunikasi dan penyaluran maklumat yang tepat berhubung masalah-masalah yang dihadapi.
Tambahnya, aduan yang paling kerap diterima setakat ini adalah melibatkan pekerja tiada pekerjaan sejak PKP dilaksanakan namun majikan tetap bayar separuh gaji.
“Lagipun tiada arahan yang jelas daripada kerajaan sama ada perlu bayar gaji penuh atau separuh. Soal makanan tiada masalah, cuma wang untuk dihantar ke kampung masing-masing yang tidak mencukupi,” jelasnya. – UTUSAN











