KOTA KINABALU: Berjalan kaki meredah laluan berlumpur sejauh empat kilometer (km) menjadi rutin harian guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan, Penampang dekat sini bagi menghantar lembaran kertas kerja buat pelajar.
Sejak sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), guru-guru bergilir menghantar dan mengambil lembaran kertas kerja setiap hari bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Guru Besar SK Buayan, Matius Kusop berkata, perjalanan menuju ke sekolah terpaksa diteruskan walaupun berjalan kaki untuk sampai ke pusat komuniti di Kampung Ponobonan.
“Kita tidak dapat pergi setiap rumah pelajar, jadi guru-guru menghantar lembaran kertas kerja di satu tempat dan pelajar akan mengambilnya di situ.
“Ini sahaja pendekatan yang boleh diambil bagi memastikan pelajar-pelajar SK Buayan tidak tercicir.
“Capaian internet pula sangat lemah, hanya pelajar yang tinggal berhampiran sekolah yang dapat menghantar kerja melalui WhatsApp,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Matius berkata, masalah tiada (peranti) gajet juga menjadi kekangan bagi pelajar di kampung yang ada capaian internet.
Beliau berkata, sekolah yang terletak kira-kira 55 km dari Pekan Penampang itu berada jauh di tengah-tengah hutan menyebabkan banyak masalah.
Kini apabila satu-satunya jambatan gantung rosak, laluan ke sekolah semakin mencabar kerana guru-guru terpaksa meredah sungai selebar 100 meter yang terletak kira-kira empat km dari sekolah.
Oleh itu, ceritanya, guru perlu mengambil masa sejam setengah berjalan kaki meredah laluan berlumpur tetapi pada musim kemarau, guru boleh menunggang motosikal sehingga sampai ke sekolah.
“Semasa ada jambatan kami boleh melalui jambatan gantung itu dengan menggunakan motosikal. Tapi, sejak jambatan ini rosak Januari lalu, kami terpaksa menyeberangi sungai apabila ingin masuk ke sekolah.
“Proses pembaikan jambatan ini masih menunggu peruntukan kerajaan. Sebelum ini guru dan penduduk kampung mengutip dana dan bergotong-royong membaiki jambatan tersebut kerana ia satu-satunya laluan penduduk kampung untuk ke pekan,” katanya. – UTUSAN











