Industri bas sudah 'mati’ - Utusan Malaysia

Industri bas sudah ‘mati’

Sebahagian bas ekspres milik Syarikat Pancaran Matahari (M) Sdn. Bhd yang tersadai di depoh bas syarikat tersebut di Shahab Perdana di Alor Setar pada 17 Jun 2021.- UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hayat kira-kira 200 pengusaha bas ekspres kini bukan lagi `tenat’ tetapi ibarat sudah `mati’ sebaik kerajaan mengumumkan pelaksanaan total lockdown bermula awal bulan ini.

Tidak boleh rentas negeri yang sudah beberapa siri sejak 18 Mac tahun lalu, cukup mencengkam operasi syarikat bas antara negeri yang tiada alternatif untuk kekal dalam keadaan stabil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, walaupun Kementerian Pengangkutan membenarkan operasi bas tetapi kelonggaran tersebut tidak bermakna apabila pelanggan tidak dibenar rentas negeri mahupun daerah.

“Buat apa benarkan operasi dan untuk apa syarikat bas mahu beroperasi jika tiada penumpang boleh rentas negeri. Buka operasi bukan sahaja tidak untung malah menambah beban kos operasi.
“Keputusan membenarkan syarikat bas beroperasi ketika semua orang tidak dibenar rentas negeri dan daerah tidak relevan selain boleh ditafsir seperti tidak masuk akal,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, pihaknya kini menunggu satu peluang lagi iaitu keputusan Kementerian Pengangkutan memberi bantuan pembayaran geran bantuan khas secara one-off kepada syarikat-syarikat bas ekspres yang dimohon sejak April.

Mohamad Ashfar memberitahu, anggaran bantuan sekitar RM46 juta jika diluluskan akan memberi manfaat kepada 200 pengusaha yang memiliki sekitar 4,200 buah bas di seluruh negara.

“Jika diluluskan RM46 juta, bantuan itu akan diagihkan dalam anggaran RM11,000 untuk setiap bas bagi semua pengusaha membiayai kos membaik pulih dan pemeriksaan keselamatan tambahan pengangkutan yang lama tersadai,” ujar beliau.

Bagaimanapun, kata beliau, sehingga sekarang kerajaan belum memberi jawapan kepada permohonan tersebut.

“Bantuan RM11,000 untuk sebuah bas itu sebenarnya hanya membabitkan 70 peratus atau mencecah RM16,000 kos sebenar bagi membaik pulih setiap bas,” kata beliau.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspress Melayu Semenanjung (Pembawa), Mohamad Kaharrudin Salleh turut merayu kerajaan menghulurkan bantuan kepada ahli-ahlinya.
Menurut beliau, Pembawa mempunyai 20 syarikat dan sedang bergelut untuk `bernafas’ semula manakala sebahagian lagi mungkin sudah putus asa.

“Industri bas kini bukan lagi `tunggu untuk mati’ tetapi boleh dikatakan memang sudah `mati’.
“Keadaan sekarang, bukan setakat pemandu yang terjejas tetapi pemilik syarikat bas juga senasib dengan pemandu dan kakitangan lain iaitu sama-sama tiada pendapatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.

Mohamad Kaharrudin berkata, semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lalu, syarikat bas diberi `talian hayat’ dengan membuat pinjaman mudah di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Sekarang masih terus diberi Program Subsidi Upah (PSU) dengan kakitangan syarikat bas ekspres diberi RM600 setiap bulan namun masalahnya ada yang dapat cepat dan ada yang dapat lambat.
“Kami sebagai majikan pula tidak dapat apa-apa melainkan pembiayaan Pelancongan Penjana yang berbentuk pinjaman yang ditawarkan,” jelasnya.

Difahamkan 200 syarikat bas, yang beroperasi sebelum ini mempunyai hampir 6,000 pekerja termasuk pamandu.Sebelum ini, Pembawa pernah meluahkan kesukaran syarikat-syarikat bas untuk meneruskan operasi ketika negara dalam tempoh pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Kata Mohamad Kaharrudin lagi, ketika tempoh PKPB tersebut, setiap pengusaha bas secara purata hanya dapat mengoperasikan empat buah bas sehari berbanding hari biasa 80 hingga 100 buah bas manakala untuk tempoh total lockdown ini, hanya satu hingga dua bas sahaja menunggu untuk boleh beroperasi.

Mengulas lanjut, kata beliau, kebanyakan pengusaha kini tidak lagi mempunyai aliran tunai untuk menyelenggara bas yang tersadai.

“Untuk mulakan semula operasi, sudah tentu bas-bas yang sudah lama tersadai ini perlu diselenggara namun kini modal untuk selenggara juga sudah tiada.

“Harap kerajaan prihatin dan boleh memberikan bantuan yang sepatutnya untuk syarikat kembali boleh dihidupkan,” katanya yang juga hampir putus asa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×