Yakinkan Melayu, UMNO untuk terima DAP - Utusan Malaysia

Yakinkan Melayu, UMNO untuk terima DAP

ZAHIDI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP perlu meyakinkan orang Melayu untuk menerima calon Perdana Menteri mereka iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim jika mahu UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU Ke-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, setakat ini UMNO sendiri tidak menerima cadangan tersebut dan beliau termasuk akar umbi parti itu seluruhnya masih berpegang teguh kepada perkara yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu ‘No Anwar’, ‘No DAP’.

“Kita dah buat keputusan ‘No Anwar’ ‘No DAP’ dan rata-rata tak bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka. Semua tak bersetuju, yang setuju cuma Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamid ) dengan kawan dia sahaja.

“Keseluruhannya tidak. Tetapi kalau nak ubah, maka DAP dan Anwar perlu yakinkan orang Melayu dan UMNO. Kita harap orang Melayu takkan terima benda ni sampai bila-bila,” katanya ketika dihubungi, semalam.

ANTHONY LOKE

Terdahulu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dilapor menegaskan, UMNO, Warisan atau mana-mana parti yang hendak bekerjasama dengan PH mesti menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Katanya, PH mempunyai struktur kepemimpinan yang jelas iaitu Anwar adalah Pengerusinya dan layak untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Apa yang telah diputuskan Datuk Seri Anwar adalah calon PM bagi Pakatan Harapan. Jadi kami memberi tawaran yang jelas kepada rakyat.

“Tetapi jika kami gagal mendapat kerusi majoriti memerintah sudah tentu ada kerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO. Bukan Bersatu kerana Bersatu pernah mengkhianati kami. Namun begitu mereka perlu menerima hakikat bahawa calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan ialah Datuk Seri Anwar,” jelas Loke sebelum ini.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, usaha Presiden UMNO mencontohi langkah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini cuba ‘memujuk’ orang Melayu supaya menerima DAP tidak akan berhasil dan hanya sia-sia.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) setakat ini belum menyatakan siapa calon Perdana Menteri mereka walaupun parti itu ketika ini mempunyai Presiden yang juga Pengerusi BN iaitu Ahmad Zahid. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×