Varian India mudah ‘lolos’? - Utusan Malaysia

Varian India mudah ‘lolos’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia dikejutkan dengan penemuan varian mutasi dari India iaitu varian B.1.617.1. Lebih membimbangkan, varian mutasi ini mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi.

Apa itu mutasi?

Mutasi bermaksud berlaku perubahan pada jujukan genetik asid ribonukleik (RNA) atau asid deoksiribonukleik (DNA) sesuatu genom. Mutasi mudah berlaku semasa proses replikasi atau pembiakan virus. Virus jenis RNA sebenarnya agak kerap mengalami mutasi kerana kumpulan virus ini tidak mempunyai kebolehan untuk mengenal pasti perubahan genetik semasa proses pembiakan. Justeru, virus baharu yang dihasilkan mungkin mempunyai susunan genetik sedikit berbeza daripada virus asal. Tidak semua mutasi menyebabkan virus menjadi lebih ganas. Ada mutasi yang tidak memberi apa-apa kesan. Ada juga mutasi yang menyebabkan virus menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Varian B.1.617.1 mula dikesan di India pada Oktober 2020 dan telah tersebar ke lebih 30 negara. Varian B.1.617.1 digelar mutasi berganda. Ia mengandungi 13 mutasi, tetapi hanya dua mutasi yang penting iaitu melibatkan struktur protein spike. Mutasi ini mempengaruhi cara virus melekat pada sel manusia. Salah satu mutasi didapati sama dengan yang terdapat pada varian Brazil. Mutasi ini juga menyebabkan varian ini mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi berbanding varian lain. Mutasi ketiga pula masih dalam kajian tetapi berkemungkinan mempunyai keupayaan untuk mengelak atau mengaburi sistem imuniti badan seseorang.

Benarkah kaedah PCR gagal mengesan jangkitan oleh varian ini?

Ada laporan menyebut varian ini gagal dikesan oleh teknik PCR yang selama ini digunakan untuk mengesan virus SARS-CoV-2. Sebenarnya ia kurang tepat. Ini kerana, ujian Reverse Transcripte-PolymeraseChain Reaction (PCR) Covid-19 mengesan lebih daripada satu gen yang terdapat virus. Contoh gen ialah gen S yang mengekod protein spike, gen E, gen Rdrp dan lain-lain. Kebanyakannya mengesan dua gen, dan ada juga yang mengesan 3 gen. Ini untuk memastikan ketepatan ujian adalah tinggi.

Jika terdapat mutasi pada gen spike contohnya , ujian tersebut masih boleh mengesan gen E dan juga RdRp.

Secara umumnya, ujian PCR yang kita gunakan mempunyai kadar keberkesanan yang tinggi (melebihi 80 peratus) dan merupakan gold standard untuk diagnosis Covid-19.

Ini bermakna, ada kemungkinan 20 peratus ujian menunjukkan keputusan ralat negatif. Keputusan sebegini boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu:

1. Sampel swab diambil terlalu awal (semasa tempoh inkubasi) atau terlalu lewat. Pada masa ini jumlah bebanan virus dalam keadaan yang sangat rendah. Jadi, PCR memberikan keputusan negatif. Tempoh terbaik untuk buat swab ialah sekitar hari ke lima hingga tujuh selepas terdedah kepada jangkitan Covid-19 atau satu, dua hari sebelum bermulanya gejala.

2. Cara pengambilan sampel yang tidak betul.

3. Faktor-faktor teknikal lain yang mempengaruhi keputusan ujian.

Mengapa kewujudan varian ini membimbangkan?

Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengumumkan varian B.1.617.1 dikategorikan sebagai varian yang membimbangkan (VOC). Ia adalah varian keempat termasuk varian UK, Brazil dan Afrika Selatan yang diklasifikasikan sedemikian. VOC adalah varian yang mempunyai sekurang-kurangnya satu daripada ciri-ciri berikut: kadar kebolehjangkitan yang tinggi, menyebabkan jangkitan teruk, mengurangkan keberkesanan antibodi sedia ada dalam badan atau menyebabkan kaedah rawatan dan vaksin menjadi kurang berkesan.

Bagi varian B.1.617.1, ia dilaporkan mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi. Namun, varian B.1.617.1 tidak menyebabkan kadar kematian yang tinggi. Ia juga tidak mengganggu proses diagnosis, dan tidak juga mengganggu atau mengubah kaedah rawatan pesakit Covid-19.

Apa kaedah-kaedah pencegahan sesuai?

Mengenai keberkesanan vaksin, kajian terperinci sedang dijalankan oleh pengeluar pelbagai jenis vaksin. Setakat ini dilaporkan ada vaksin yang efektif terhadap varian B.1.617.1 dan ada juga yang dilaporkan kurang efektif. Ini bermakna ada yang mendapat jangkitan varian ini selepas menerima vaksin Covid-19. Contohnya yang berlaku di India. Namun, vaksin didapati melindungi serta mencegah mereka daripada mendapat jangkitan yang teruk.

Paling penting sekali, asas-asas pencegahan Covid-19 seperti penjarakan fizikal, membersihkan tangan, mengelakkan sentuhan fizikal dan pemakaian pelitup muka harus dilakukan sepanjang masa. Jangan ambil ringan kaedah-kaedah pencegahan ini walaupun kita semua telah kelesuan menghadapi pandemik ini sejak setahun yang lalu.

Penemuan varian-varian baharu seharusnya tidak mematahkan semangat kita untuk terus berjuang menghadapi pandemik ini seterusnya melenyapkannya dari muka bumi.

Profesor Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed ialah Pakar Mikrobiologi Klinikal dan Profesor Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam. Kedua-duanya dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN