PETALING JAYA: Semalam hari pertama bermulanya penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara susulan Covid-19 semakin ganas dengan jangkitan baharu sudah melebihi 7,000.
Namun apa yang berlaku, masih ramai rakyat terus berdegil dan seolah-olah tidak tahu arahan kerajaan 20 Mei yang mahu lebih ramai duduk di rumah dan bukan di pusat beli-belah atau tempat-tempat awam.
Buktinya kebanyakan jalan masih penuh dengan kenderaan walaupun dianggarkan tujuh juta diarahkan bekerja dari rumah dan masih ada orang dewasa bawa bayi ke pusat beli-belah manakala taman-taman awam terus dikunjungi orang ramai bersantai.
Mereka yang `berkeliaran’ di luar rumah itu juga dikesan enggan mendaftar masuk ke premis sama ada menerusi aplikasi MySejahtera atau tulis secara manual malah ada lagi yang tidak memakai pelitup muka, tidak buat imbasan suhu dan tiada penjarakan sosial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, sikap tidak peduli SOP yang masih berlaku terus menjadi penyumbang kepada peningkatan kes harian jangkitan Covid -19 yang semalam sahaja direkodkan 7,289 kes dengan 60 kematian.

Menurut beliau, individu yang sering dikenakan kompaun kerana tidak mengimbas kod aplikasi MySejahtera banyak memberi alasan mereka masuk ke dalam premis bagi tempoh sekejap.
Sedangkan, kata beliau, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana masyarakat sering diingatkan jangan lupa imbas MySejahtera.
“Jangan anggap imbas MySejahtera sebagai remeh kerana tindakan itu sebenarnya mampu membantu melawan pandemik Covid-19 terutama untuk mengesan kontak rapat.
“Ada sesetengah individu, membuat alasan tidak membawa atau mempunyai telefon pintar. Alasan sebegitu sepatutnya tidak kedengaran lagi kerana pilihan ialah menulis maklumat diri di dalam buku rekod yang diletakkan di pintu masuk semua premis perniagaan,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Azri, penguatkuasaan pematuhan pihak berkuasa sahaja tidak mencukupi untuk menyekat Covid-19 kerana yang lebih penting adalah sokongan seluruh rakyat yang mengikut SOP yang diarahkan.
Kata beliau, ketika PKP 3.0 dengan SOP diperketatkan ini dilaksanakan ia adalah tempoh penting bagi orang ramai memahami bahawa arahan tersebut adalah untuk melindungi mereka daripada dijangkiti Covid-19.
Di Selangor, tinjauan di Taman Tasik di Shah Alam mendapati, terdapat beberapa kelompok orang ramai berkumpul yang menggambarkan mereka tidak peduli SOP diperketatkan sudah bermula.
Lebih menghairankan, terdapat juga pertemuan berkumpulan semata-mata untuk bermain dalam talian di telefon sehingga `terlupa’ amalan penjarakan sosial.
Seorang remaja yang mahu dikenali sebagai Akmal, 16, berkata, capaian internet di rumahnya lemah dan dia mengambil keputusan melepak di taman tasik tersebut.
“Saya hanya berjumpa seketika dan selepas selesai bermain ‘game’, saya dengan kawan balik ke rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang wanita warga asing yang hanya mahu dikenal Suryiati, 30, berkata, dia berada Taman Tasik Seksyen 14 untuk makan tengah hari dengan seorang rakannya.
“Kami bekerja sebagai tukang sapu jadi tidak ada pejabat untuk duduk makan. Selepas makan, kami akan pulang ke tempat kerja untuk meneruskan pekerjaan,” ujarnya.
Tinjauan di beberapa premis di Johor Bahru, Johor pula mendapati, terdapat pengunjung tidak peduli untuk mengimbas aplikasi MySejahtera dan suhu badan meskipun ditegur untuk memasuki ke sebuah pusat beli-belah di bandar raya itu.
Seorang pemilik kedai runcit di Skudai yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid berkata, masih ada pengunjung bermasam muka apabila disuruh mengimbas MySejahtera dan ramai juga yang memberi alasan ‘sekejap sahaja’ atau telefon pintar kehabisan bateri.
“Kadangkala ada yang ditegur terus cepat-cepat menulis nama di buku tetapi terdapat juga yang tidak ambil kisah selain ada memberi seribu satu alasan,” katanya ketika ditemui di sini semalam
Tinjauan di sebuah kedai makan didapati ketiadaan alat pengimbas suhu ‘berdiri’ menyebabkan ramai pelanggan tidak melakukan imbasan suhu.
Keadaan itu berisiko jika pelanggan yang masuk ke kedai mempunyai gejala tidak sihat dan seterusnya ia berbahaya buat orang lain.
Di Terengganu, tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Besar Chukai, Kemaman mendapati masih ada segelintir pengunjung tidak mencatatkan butiran diri atau mengimbas aplikasi MySejahtera dan membuat semakan suhu badan sebelum masuk ke premis itu.
Pemerhatian mendapati, ada pelanggan memilih menggunakan laluan peniaga untuk masuk ke premis itu yang tidak perlu membuat imbasan MySejahtera.
Pemeriksaan mendapati terdapat lebih empat laluan dibuka bagi memudahkan keluar masuk peniaga membawa barangan tetapi kesemua laluan tersebut tidak diletakkan tanda larangan atau dijaga pengawal keselamatan.
Seorang peniaga daging, Mohd. Fadzli Yusof, 40, berkata, pengunjung di pasar tersebut lebih berdisiplin semasa pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu.
“Pada masa itu, kebanyakan laluan ditutup dengan menggunakan pita larangan dan dijaga petugas keselamatan tetapi sekarang, kawalan hanya dibuat di pintu masuk utama sahaja” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter rasmi memaklumkan, rakyat kena bersedia untuk menghadapi gelombang Covid-19 terburuk, berikutan trend terkini peningkatan graf jangkitan.
“Peningkatan kes bermula sejak 1 April dan boleh mencetuskan lonjakan menegak. Kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi keadaan terburuk. Tolong bantu kami untuk duduk di rumah. Jika kita bekerjasama, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan,” rayu beliau.- UTUSAN










