Sistem berbilang parti PRU-15? - Utusan Malaysia

Sistem berbilang parti PRU-15?

P. SIVAMURUGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin menyaksikan konsep sistem pelbagai parti terlaksana di negara ini apabila rentak politik kini kian berbeza di samping kemunculan banyak parti baharu sejak kebelakangan ini.

Dijangka tiada parti memperoleh majoriti mudah sekali gus menguatkan andaian bahawa Malaysia menuju ke arah sistem pelbagai parti apabila masing-masing memerlukan satu pakatan membentuk kerajaan.

Sistem berbilang parti berlaku apabila tiada mana-mana parti atau gabungan mendapat majoriti mudah Dewan Rakyat dan memerlukan parti tertentu mencapai kata sepakat mendirikan kerajaan seperti berlaku terhadap pembentukan kerajaan minoriti Parti Buruh Australia dan kerajaan gabungan Konservatif dan Liberal Demokrat United Kingdom (UK) pada 2010.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, situasi politik di Malaysia berbeza berbanding barat kerana ideologi kepartian negara ini tidak terikat kepada garisan agama, etnik dan kaum sekali gus setiap parti boleh bekerjasama dan mendirikan kerajaan.

Katanya, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah contoh sistem pelbagai parti apabila tiada pihak menguasai majoriti Dewan Rakyat sehingga menyaksikan DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) bergabung dan kemudian memilih Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

“Keadaan sudah berbeza apabila rakyat kini sudah tidak lagi taksub politik kepartian seperti dahulu dan mereka kini cenderung memilih pemimpin atau individu.

“Tidak menolak akan berlaku sistem berbilang parti pada pilihan raya akan datang dan ini akan menjadi perkembangan aliran politik terbaharu dalam percaturan politik tanah air,” katanya.

MAZLAN ALI

Dalam pada itu, pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, konsep sistem berbilang parti akan berjaya sekiranya wujud iltizam dan kematangan politik dalam kalangan pemimpin politik untuk menegakkan prinsip demokrasi di negara ini.

Katanya, konsep itu secara tidak langsung dapat mengurangkan amalan diktator dalam kalangan menteri malah Perdana Menteri apabila masing-masing perlu bersepakat untuk mentadbir negara.

Jelas beliau lagi, konsep berkenaan dapat mengurangkan konfrontasi politik dan akhirnya menjamin kestabilan dan menguntungkan tanah air.

“Masing-masing memerlukan antara satu sama lain dan tidak boleh berlaku perbezaan, jika berlaku perselisihan sudah pasti ada parti menarik sokongan dan akhirnya kerajaan tumbang.

“Negara-negara maju seperti UK dan Australia telah lama amalkan sistem berbilang parti kerana mereka ada kematangan politik dan saling mengiktiraf antara satu sama lain walaupun berbeza pandangan, tetapi tidak di Malaysia.

“Kalau tidak puas hati kepada Perdana Menteri, dia akan sendiri berundur kerana ingin menjaga kestabilan negara. Bagi negara maju tukar Perdana Menteri satu perkara biasa tetapi asing untuk negara dunia kedua,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×