Kartel daging: 4 pegawai Maqis didakwa - Utusan Malaysia

Kartel daging: 4 pegawai Maqis didakwa

ANTARA pegawai Maqis Johor yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berhubung rasuah dalam isu kartel daging antara Disember 2016 hingga Disember 2020 di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/BAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Empat pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan seorang pengurus dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan melibatkan jenayah kartel daging antara Disember 2016 hingga Disember tahun lalu.

Tertuduh, Penolong Pegawai Penguasa Maqis, Nor Azlan Mat Suki, 40; Mohd. Hafizan Khalid, 44, dan pengurus ejen penghantaran, Abdul Latif A. Rahman, 55, membuat pengakuan tidak bersalah.

Dua lagi tertuduh iaitu pegawai Maqis, Khairul Izat Sulaiman, 31, dan Mohammad Sofyan Mohd. Zaim, 27, mengaku bersalah. Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Nor Azlan dan Mohd. Hafizan didakwa dengan lima serta satu pertuduhan masing-masing menerima rasuah berjumlah RM37,500 bagi melepaskan 41 kontena yang membawa daging sejuk beku milik Syarikat ZS Amin Sdn. Bhd. dari negara yang tidak diiktiraf Jabatan Veterinar Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di  dua buah restoran di Nusajaya dan Johor Bahru antara Disember 2016 hingga Mac 2017.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi Abdul Latif pula dia didakwa atas dua pertuduhan pilihan iaitu memalsukan dokumen yang digunakan sebagai tulen iaitu Borang Pengakuan Barang-Barang Yang Diimport dari Syarikat LY Frozen Sdn. Bhd. bertarikh 5 Oktober dan 9 November 2020 di Wisma Kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah pada tarikh tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Khairul Izat dan Mohammad Sofyan mengaku bersalah atas pertuduhan gagal melaporkan pemberian sogokan masing-masing RM100 serta RM30 daripada Abdul Latif sebagai ejen penghantaran QFF Logistic Sdn. Bhd. bagi mempercepatkan proses pemeriksaan dokumen dan fizikal konsainan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Maqis, Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah pada 5 Oktober dan 10 November 2020. Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaili Sapun dan Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Nor Azlan diwakili peguam Peter Tan manakala Mohd. Hafizan dan Abdul Latif masing-masing diwakili Mohd. Razak Sharif serta S. Vijaya sementara Khairul Izat dan Mohammad Sofyan tidak diwakili peguam.

Mahkamah  menetapkan Nor Azlan dan Mohd. Hafizan diberi jaminan RM7,000, manakala Abdul Latif berjumlah RM8,000 serta Mohammad Sofyan RM5,000 dan menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya