Barang subsidi bantu IKS Thailand - Utusan Malaysia

Barang subsidi bantu IKS Thailand

Pegawai PGA AZHARI Nusi turun padang meninjau kawalan di pangkalan haram yang terdapat di tebing Sungai Golok, Rantau Panjang pada 4 Mei 2021. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Penyeludupan barang bersubsidi Malaysia ke Thailand yang tidak pernah `tidur’ di sepanjang Sungai Golok di negeri ini membantu menjana industri kecil dan sederhana (IKS) di negara jiran itu.

Antara barangan bersubsidi di Malaysia tetapi bertukar menjadi barang IKS popular di Thailand ialah minyak masak, gula dan juga gandum.

Sebelum menyeberangi Sungai Golok sepanjang 103 kilometer yang memisahkan Kelantan dan Thailand, barang tersebut dikumpulkan di stor-stor berhampiran tebing sungai.

Dari stor-stor tersebut, `tentera semut’ membabitkan rakyat Thailand dan Kelantan akan memunggahkan barang tersebut ke Thailand dengan upah RM50 hingga RM200 untuk setiap trip.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, perkara itu bukan baru tetapi diwarisi dengan barangan subsidi Malaysia tersebut dijenamakan semula sebelum dijual merata tempat seperti Golok dan Patani yang terletak dalam wilayah Narathiwat.

“Selepas melepasi sempadan negara, barang itu sekali lagi dikumpul di stor di Thailand untuk melalui proses dibungkus semula dengan memilih jenama barang keluaran negara gajah putih berkenaan.

“Selepas siap barang tersebut diedarkan kepada penjual di sana dengan harga lebih sekali ganda.

“Contoh bagi minyak sekilogram di Malaysia dijual RM2.50 tetapi di Thailand pada RM5,” kata sumber itu baru-baru ini.

Sumber itu berkata, barang bersubsidi tersebut diseludup dalam kuantiti kecil tetapi dilakukan secara kerap menggunakan khidmat ‘tentera semut’ tanpa mengira siang atau malam.

“Penyeludupan barang tersebut berlaku setiap saat, minit dan jam di sepanjang Sungai Golok yang sempit dan adakalanya cetek.

“Barang itu dibawa dengan perahu atau jika air cetek dengan kudrat `tentera semut’ itu sendiri,” ceritanya.

Kata sumber itu lagi, aktiviti penyeludupan di sempadan negeri Kelantan bukan `pelik’ dan kerana persepsi itu juga menyukarkan pihak berkuasa mendapat kerjasama penduduk yang mendiami di pinggir-pinggir sungai.

“Penguat kuasa syak, orang kampung tahu aktiviti penyeludupan tetapi mereka tidak membanteras penyeludupan kerana penduduk di situ tidak rasa ia kesalahan.

“Penduduk sendiri gemar beli barang-barang seludup dari Thailand terutama beras. Sampai sekarang kebanyakan penduduk Kelantan makan beras dari Thailand,” kata sumber.

Sementara itu, Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, sebanyak 800 kes penyeludupan termasuk membabitkan barang subsidi dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara tahun lalu, berbanding 526 kes pada 2019, dengan peningkatan 52 peratus.

Menurut beliau, kejayaan itu direkodkan melalui PGA Batalion 7 Kuantan, PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa dan PGA Batalion 9 Kuala Terengganu yang melakukan penugasan Op Benteng Covid-19 secara bergilir di sepanjang Sungai Golok.

Hasan Basri Ahmad Safar berkata, nilai rampasan pelbagai barang seludup di kawasan sama sepanjang tahun lalu pula mencecah RM60.7 juta, berbanding RM31.24 juta pada 2019.

Kata beliau, 11 kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) mencatatkan nilai rampasan terbesar sepanjang 2020 iaitu RM19.8 juta diikuti kes di bawah Akta Kastam sebanyak RM19.7 juta dan Akta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) RM6.5 juta.

“Dalam tempoh Op Benteng Covid-19 tahun lalu, kita menahan seramai 624 individu yang terbabit dalam jenayah rentas sempadan, berbanding 244 individu pada 2019.

“Dalam tempoh sama, kita menahan 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba masuk secara haram ke negara ini menggunakan pangkalan-pangkalan haram di Sungai Golok,” kata beliau.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, penugasan Op Benteng Covid-19 oleh PGA Briged Tenggara di Kelantan melibatkan tiga sektor iaitu Rantau Panjang dan Jeram Perdah di Pasir Mas serta Kuala Jambu di Tumpat.

Katanya, seramai 390 pegawai dan anggota PGA menjayakan tugasan itu secara bergilir-gilir 24 jam sehari tanpa gagal.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri pula berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berhubung barang subsidi terutama minyak dan gula menjana IKS di Thailand.

KPDNHEP Kelantan bagaimanapun kata beliau, mengambil serius dakwaan tersebut dan jika didapati berlaku, ia adalah perbuatan khianat kerana ‘merompak’ subsidi negara.

Azanizam berkata, kegiatan penyeludupan barang bersubsidi ke Thailand memang berlaku bukan sahaja membabitkan, beras, gula dan gandum tetapi turut meliputi minyak diesel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×