PETALING JAYA: Kira-kira RM80 juta dianggarkan diperoleh lebih 290 syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi dalam tempoh sebulan di seluruh negara.
Bayangkan, itu hanya anggaran jumlah tuntutan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam tempoh sebulan dan tidak termasuk keuntungan daripada aktiviti pembungkusan semula sebelum dijual kepada pelanggan atau diseludup ke negara jiran.
Memang pihak berkuasa mengesan terdapat segelintir syarikat melakukan pembungkusan semula ke atas minyak masak bersubsidi yang kemudian turut memanipulasikan dokumen invois dengan membuat tuntutan palsu kepada kerajaan.
Minyak masak yang dibungkus semula tersebut tidak ditawarkan di pasaran untuk orang ramai sebaliknya mereka `melakukan kerja lain’ termasuk diseludup ke negara jiran atau menjualkan dengan harga lebih mahal di dalam botol.
Jadi syarikat-syarikat itu boleh dapat untung atas angin begitu sahaja sehingga cecah jutaan ringgit sebulan.
Penyelewengan itu sekali gus menyebabkan orang ramai sukar mendapatkan bekalan minyak bersubsidi di pasaran terbuka.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, setiap syarikat berkenaan dibekalkan kira-kira 100 tan hingga 500 tan (100,000 ke 500,000 kilogram) minyak masak bersubsidi untuk tempoh sebulan.
Katanya, syarikat pembungkus akan dibayar 60 sen bagi setiap sekilogram minyak masak bersubsidi tersebut oleh kerajaan.
Kata sumber, bayangkan, jika mereka mendapat 500,000kg, minyak masak bersubsidi jadi jumlah tuntutan dibuat boleh mencecah kira-kira RM300,000 sebulan dan mencecah jutaan ringgit untuk tempoh setahun.
“Setiap pemilik syarikat perlu membuat tuntutan kepada KPDNHEP dengan membuktikan kuota subsidi itu habis dijual kepada rakyat walhal ia diseleweng.
“Yang untung sindiket tetapi kerajaan menanggung kerugian kerana membayar syarikat yang membuat tuntutan palsu manakala rakyat sukar dapat bekalan minyak masak murah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mengulas lanjut, sumber berkata, sehingga kini, kira-kira 290 syarikat pembungkus di seluruh negara memperoleh kuota minyak masak bersubsidi dengan nilai kuota RM48 juta sebulan.
Jelas sumber, antara modus operandi mudah syarikat membuat penyelewengan ialah memindahkan minyak masak bersusidi ke dalam botol berkapasiti dua atau lima kilogram menggunakan jenama syarikat itu.
Minyak masak yang dibotolkan bukan di bawah kawalan penguat kuasa.
“Penyelewengan minyak masak ini dipercayai didalangi sindiket berbeza-beza kerana masing-masing mempunyai pasaran tersendiri.
“Walaupun banyak kegiatan penyelewengan ditumpaskan namun masih ada yang cuba menjalankan kegiatan ini kerana minyak masak bersubsidi dilihat senang untuk mendapatkan keuntungan,” katanya. – UTUSAN










