Ramai ditahan cuba rentas negeri, 3 kampung di Terengganu kena PKPD

Ramai ditahan cuba rentas negeri, 3 kampung di Terengganu kena PKPD

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam turun lagi untuk hari yang kedua berturut-turut, dengan 95 orang ditahan berbanding 137 individu diberkas kelmarin serta 248 lagi dicekup pada Sabtu lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 86 dikompaun manakala sembilan lagi direman dengan kes tertinggi iaitu cuba merentas negeri sebanyak 38 kes.

Ujar beliau, ini diikuti empat kesalahan lain iaitu tidak merekod butiran diri (31), aktiviti pusat hiburan (17), tidak memakai pelitup muka (lapan) dan gagal mematuhi jarak fizikal (seorang).

“Mereka dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan 64,307 pemeriksaan melibatkan penugasan sejumlah 3,562 pasukan di seluruh negara dengan kekuatan seramai 15,868 anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Seramai tiga orang pendatang asing tanpa izin ditahan selain 14 lagi diusir melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan penularan wabak Covid-19 selain mengesan 148 buah bot atau kapal yang dicurigai berdekatan dengan perairan negara melalui 21 aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 661 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 9,233 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 73 hotel serta lapan institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 1,258 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 157,914 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Sementara itu, di Terengganu, sebanyak tiga kampung di Daerah Besut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula esok hingga 20 April ini.

Ismail Sabri berkata, lokaliti tersebut ialah Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak di Mukim Hulu Besut.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku penularan dalam kalangan penduduk di tiga kampung ini dengan kadar kebolehjangkitan juga tinggi,” katanya.

Sehingga kini ujarnya, secara kumulatif pihak kementerian itu melaksanakan sebanyak 58 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, enam orang disahkan positif wabak Covid-19.

Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa PKPD turut dikenakan untuk tarikh yang serupa melibatkan Kampung Murni C di Daerah Nabawan, Bahagian Pedalaman, Sabah kerana berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti berkenaan juga adalah tinggi.

Sehingga kini tambahnya, Kementerian Kesihatan sudah melakukan 17 ujian saringan dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak enam kes positif baharu Covid-19 telah direkodkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya