Pakatan seleweng minyak subsidi - Utusan Malaysia

Pakatan seleweng minyak subsidi

Azman Adam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan pakatan jahat antara pengedar, pemborong dan pembungkus minyak masak untuk menyeleweng subsidi yang dianggarkan bernilai RM50 juta sebulan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, ini adalah punca yang dikesan berlaku dalam kalangan pihak industri sehingga menyeleweng dan menyebabkan ketirisan barang kawalan.

“Kita tidak nafikan perkara itu ada berlaku. Setakat ini kita dapati punca kerana pakatan daripada pihak industri dipercayai melibatkan pengedar, pemborong dan kemungkinan pembungkus itu sendiri,” kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Azman memberitahu, ketirisan berkaitan minyak masak bersubsidi itu juga dibuktikan apabila pihaknya menerima maklumat barang tersebut dijumpai di negara jiran.

“Penyelewengan minyak subsidi itu juga berlaku dengan cara pemain industri memasukkan minyak bersubsidi polybag satu kilogram ke dalam botol untuk dijual ke pihak industri dengan harga lebih daripada RM2.50 sekilogram,” katanya.

Menurut Azman, dalam tempoh tiga tahun ini, kira- kira RM13.69 juta melibatkan 273,663 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi yang cuba diseleweng berjaya dirampas KPDNHEP.

Jelasnya, rampasan itu melibatkan RM12.88 juta (33,046 kg) pada tahun 2019 manakala RM651,654 (211,20 kg) untuk tahun lalu serta 29,410 kg minyak masak bernilai RM159,126 untuk tempoh empat bulan tahun ini.

Ujar beliau, pihaknya telah mengambil beberapa tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam pakatan jahat tersebut tetapi permainan `kotor’ terus berlaku.

“Setakat ini, sebanyak 14 syarikat pembungkus sudah diambil tindakan untuk tahun lalu. Selain itu, tiga syarikat menerima kuota minyak masak ditarik lesen di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) untuk 2020 dan 2021 manakala tiga lagi digantung lesen pada 2019 dan tahun lalu,” kata beliau.

Selain itu, Azman berkata, siasatan pihaknya juga mendapati keuntungan berlipat ganda menjadi tarikan minyak masak bersubsidi diseludup ke negara jiran.

“Harga minyak di sini dijual dengan harga RM2.50 sebungkus bagi pek berat sekilogram namun jika di negara jiran ia mencecah RM4.50, itu menyebabkan ada pihak-pihak sanggup berpakat dan sama-sama ambil kesempatan.

“Buat tuntutan subsidi daripada kerajaan dan dalam masa sama dapat lagi keuntungan berganda jual dengan harga lebih mahal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azman mengakui pihaknya ada menerima aduan mengenai bekalan minyak masak bersubsidi yang kurang namun perkara itu bukan bersifat kekal.

Ujar beliau, kekurangan minyak masak bersubsidi disebabkan kenaikan minyak masak yang dijual dalam botol sehingga mendesak pengguna memilih bekalan bersubsidi.

“Ada sedikit aduan tetapi disebabkan pelbagai faktor contohnya cuti sekolah, atau bekalan sepatutnya tiba pada Jumaat namun terlewat ke hari Ahad.

“Bagaimanapun, pihak-pihak dalam industri tahu peranan masing-masing dalam memastikan bekalan sampai kepada pengguna,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya sentiasa menjalankan risikan bagi membanteras aktiviti ketirisan barang-barang bersubsidi.

Katanya, KPDNHEP juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani isu tersebut.

“Kita bersama-sama SPRM membangunkan kaedah yang sesuai untuk menyelamatkan wang negara selain memanggil pegawai-pegawai agensi itu untuk turut serta dalam operasi dijalankan KPDNHEP,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×