KPDNHEP kesan enam kes penipuan timbang kelapa sawit 

KPDNHEP kesan enam kes penipuan timbang kelapa sawit 

KPDNHEP mengesan enam kes penipuan timbang buah kelapa sawit di utara Semenanjung menerusi Op Timbang Sawit, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak enam kes penipuan timbang buah kelapa sawit dikesan di utara Semenanjung dengan nilai rampasan RM36,850 menerusi Op Timbang Sawit yang dijalankan Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), minggu lepas. 

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, menerusi operasi itu, sebanyak 12 kes diambil tindakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) atas kesalahan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh jabatan berkenaan.

Beliau berkata, fokus tindakan Op Timbang Sawit untuk memastikan alatan timbangan yang digunakan tepat dengan membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap perkakasan, perisian atau mana-mana komponen sistem yang digunakan peniaga di pusat pengumpulan dan pembelian buah sawit supaya berada dalam keadaan baik. 

“Pemeriksaan juga untuk memastikan alat timbang tersebut telah diuji dan ditentusahkan,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, peniaga di pusat pengumpulan dan pembelian buah sawit di bawah pelaksanaan Op Timbang Sawit tertakluk di bawah peruntukan Akta Akta Timbang Sukat 1972 (ATS 1972) dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan dikehendaki mempamerkan tanda harga dengan jelas.

“Operasi ini secara langsung memberi kesan positif kepada penjual buah sawit khususnya pekebun kecil kelapa sawit kerana elemen penipuan atau manipulasi alat timbang sawit dapat dielakkan apabila alat timbangan yang tepat atau betul sahaja digunakan dalam urus niaga tersebut,” katanya. 

Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP berharap semua pihak yang terlibat dalam industri buah sawit untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara jujur, beretika dan tidak mengambil kesempatan dengan perlakuan manipulasi harga mahupun timbangan. 

“Bagi memastikan pematuhan perundangan yang menyeluruh dalam industri, operasi ini akan diteruskan demi kepentingan semua pihak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya