PETALING JAYA: Hasrat Lim Kit Siang untuk bertanding dalam pemilihan parti DAP pada Jun tahun ini memberi bayangan beliau mahu ‘membersihkan’ segala elemen yang menunjukkan parti yang diwakilinya seolah-olah parti cauvinis Cina.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berpendapat, Kit Siang sudah lama memperjuangkan DAP sebagai parti yang mewakili semua kaum, bukan untuk sesetengah kaum sahaja.
Namun, katanya, ia tidak bermakna Kit Siang seorang yang gilakan jawatan sebaliknya hanya mahu meneruskan perjuangan yang dibawa DAP selama ini.
“Itu menunjukkan beliau serius mahu membuktikan DAP adalah parti untuk semua dan bukan cauvinis Cina.
“Beliau terbukti tidak gila kedudukan. Beliau tak jadi menteri dan tak pernah minta pun. Bertanding bagi dia satu perjuangan,” katanya.
Baru-baru ini, DAP sekali lagi didakwa sebagai parti cauvinis Cina apabila Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu Tian Khiew menyifatkan partinya tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dan tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik mereka.
Dalam pada itu, Abdul Aziz menganggap Kit Siang masih relevan untuk bertanding namun tidak bermakna parti itu bergantung harap kepada pemimpin veteran itu terutamanya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya fikir itu munasabah (Kit Siang bertanding). Beliau telah lama berjuang sejak sebelum ada Pakatan Rakyat dan kemudian Pakatan Harapan (PH).
“Ia juga bukan bermakna DAP bergantung hidup kepada Kit Siang. Yang penting beliau ada peranan dan masih boleh menang,” katanya.
Abdul Aziz juga menyifatkan hasrat Kit Siang sebelum ini yang mahu bersara daripada dunia politik sekiranya Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim belum boleh dijadikan kenyataan.
“Ini belum selesai dan terbukti Tun Mahathir khianat kepada Anwar dan Pakatan Harapan (PH) sendiri,” katanya. – UTUSAN










