KUALA LUMPUR: UMNO akan bertanding tidak kurang daripada 80 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan tahap keyakinan tinggi menang disasarkan antara 70 hingga 80 kerusi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini rundingan pembahagian kerusi dengan Pas masih berjalan, namun sekiranya Pas memilih jalan untuk tidak bersama, UMNO tidak kisah bergerak solo.
“Sebab berunding dengan Pas belum muktamad. Tetapi sudah semestinya 18 kerusi yang dia (Pas) menang, kena tolaklah dengan 117 kerusi berteraskan Melayu (di Semenanjung).
“UMNO biasanya bertanding di kawasan yang lebih 50 peratus pengundi Melayu. Semasa PRU-14 UMNO tanding 120 kerusi. Kalau bersama dengan Pas dalam PRU-15, UMNO perlu buat pengagihan kerusi yang adil dan saksama tanpa tiada siapa rugi melainkan dua-dua parti sebab masuk pilihan raya kita nak menang.
“Jadi, kedua-dua untung. Tak boleh salah seorang rugi. Kalau kedua-dua untung, kita boleh menang PRU-15,” kata beliau ketika ditemui kelmarin.
Ditanya faktor UMNO boleh meraih kemenangan di sejumlah kerusi Parlimen berkenaan, Mohamad berkata: “Saya yakin UMNO boleh menang senang-senang 70 hingga 80 kerusi. Dalam keadaan UMNO-Barisan Nasional terhina, orang benci dengan UMNO semasa PRU-14, UMNO (masih) boleh menang 54 kerusi.
“Masa itu orang benci sangat dengan UMNO, bahkan Pakatan Harapan tengah naik menjulang melangit dengan janji-janji (manifesto) mereka, takkanlah dalam PRU-15 kita tidak boleh menang lebih daripada 54 kerusi (yang diperoleh pada PRU-14).”
Menarik perhatian di Negeri Sembilan, kata Mohamad, beliau berkeyakinan UMNO boleh merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Pilah dan Tampin.
“Kuala Pilah kita boleh ambil balik, kalah cuma 200 undi, itu pun sebab sabotaj orang UMNO sendiri yang kalahkan calon UMNO. Di Tampin juga boleh, kita ambil dua,” katanya.
Mengenai keyakinan sebahagian besar pengundi Melayu terhadap UMNO meskipun parti dipalit isu rasuah membabitkan beberapa pemimpinnya, Mohamad berkata, setelah ‘banyak kerosakan’ dilakukan oleh PH, masihkah orang Melayu ‘belum ternampak dan tersedar dari mimpi,’ soalnya lagi.
“Dah sampai ke ‘tengkorak’ sehinggakan orang buang undi (mengundi) kepada parti lain (PH dalam PRU-14) dan sekarang (masihkah) orang nak undi PH?
“Orang Melayu takkan undi Perikatan Nasional (PN) sebab Bersatu telah mengkhianati PH. PN takkan dapat undi Melayu, pecah dua (antara PN dan PH). Sedangkan pengundi asas UMNO-BN tak lari, itu hard- core kita,” katanya.
Mengenai isu penjajaran politik baharu yang dikatakan berlaku antara UMNO dengan PKR, kata Mohamad: “Kelmarin presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dalam The Star sudah kata tiada.
Tuan punya badan telah akui tidak akan ada kerjasama UMNO dengan PKR dan DAP, kita ambillah (pegang) cakapnya,” ujarnya. – UTUSAN











