JOHOR BAHRU: Beberapa butir logam timah dipercayai peluru daripada senapang angin yang digunakan seorang lelaki ketika menembak isterinya dalam kejadian di Kota Tinggi, dekat sini Isnin lalu ditemukan di beberapa bahagian badan wanita itu.
Kesan tembakan dari jarak dekat antaranya termasuk di bahagian dada dan perut ditemukan ketika proses bedah siasat yang dijalankan semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Md. Yusof Ahmad berkata, proses bedah siasat ke atas mayat mangsa yang selesai semalam turut menemukan kesan lebam di beberapa bahagian badan wanita berkenaan.
Katanya, polis masih menunggu laporan penuh hasil bedah siasat tersebut yang dikeluarkan oleh pihak hospital.
“Hospital juga akan mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa kerana mereka tidak dapat membuat pengecaman terhadap wanita berkenaan susulan keadaan mayat yang sudah membengkak.
“Proses pengambilan DNA dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Akhbar semalam melaporkan, seorang suami tekad menembak mati isterinya dari jarak dekat menggunakan senapang angin ketika mangsa sedang tidur di rumah mereka di Taman Saujana, Isnin lalu.
Setelah membunuh mangsa yang berusia 38 tahun, suspek berusia 43 tahun itu menyumbat isterinya di dalam tong plastik sebelum menanam mayat wanita berkenaan di sebuah ladang di Bandar Penawar yang terletak kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian, kira-kira pukul 4.30 pagi hari yang sama.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis pada awalnya menerima laporan berkaitan orang hilang melibatkan seorang wanita kepada dua orang anak di Kota Tinggi.
Beliau berkata, hasil siasatan awal dijalankan mendapati mangsa yang bekerja sebagai kerani swasta dikatakan keluar rumah kira-kira pukul 2 pagi akibat berlaku perselisihan faham dengan suaminya.
Setakat ini, punca kejadian masih dijalankan namun polis tidak menolak kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain turut menemukan surat tuntutan fasakh di rumah berkenaan.
Suspek yang juga pemandu jengkaut bersama-sama seorang lagi lelaki berusia 32 tahun ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960. – UTUSAN ONLINE











