Pokok strawberi Selising laris sampai Sabah - Utusan Malaysia

Pokok strawberi Selising laris sampai Sabah

Mohd. Athif Asyraf Sukry bersama pokok strawberi ditanam di sekitar rumah di Selising semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pokok strawberi yang mulanya ditanam sebagai hobi di pekarangan rumahnya di Selising di sini tidak disangka memberi pendapatan tambahan kepada Mohd. Athif Asyraf Sukry.

Penuntut Sarjana Muda Sains Fizik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berusia 22 tahun itu berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama Mac tahun lalu, dia memanfaatkan masa senggang selepas belajar secara dalam talian untuk berkebun bagi menghilangkan tekanan.

Menurutnya, sehingga kini lebih 200 pokok strawberi varieti Japanese Strawbery Charlie, Angle Eight dan Albion ditanam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya kemudian membiakkan anak benih yang keluar dari sulur pokok bagi memenuhi permintaan pelanggan yang berminat untuk membeli secara dalam talian.

“Ada juga peminat tanaman ini datang membeli pokok di rumah saya yang terletak bersebelahan dengan Stesen Minyak BHP Selising,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Athif Asyraf berkata, anak pokok strawberi yang dibiakkan itu dijual di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak selepas dia mempromosikannya menerusi media sosial.

Menurutnya, selain menggunakan pasu plastik, dia juga menanam secara terus di atas batas di ruang terbuka.

Katanya, pokok strawberi yang diusahakan tahan lasak dan kebanyakannya sudah mengeluarkan buah dengan rasa lebih manis berbanding strawberi di kawasan bersuhu dingin.

“Medium tanaman untuk pokok berpasu ialah campuran sekam padi bakar, sabut kelapa dan tinja kambing yang diproses manakala baja yang sesuai pula jenis foliar selain menggunakan air basuhan beras.

“Harga jualan bergantung kepada saiz dan tekstur pokok bermula RM15 hingga RM35 sepasu,” katanya.

Mohd. Athif Asyraf berkata, dia berazam menjadikan aktiviti itu sebagai perniagaan keluarga kerana dia perlu kembali ke kampus pada pertengahan bulan depan dengan adik-beradik lain akan mengambil alih perniagaan itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×