Pinda Perlembagaan kekang lompat parti - Utusan Malaysia

Pinda Perlembagaan kekang lompat parti

MOHD. HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa meminda Perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kelayakan menjadi ahli parlimen dengan menambahkan klausa baharu sebagai langkah tegas menangani amalan lompat parti.

Dalam pindaan tersebut, seseorang ahli parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kehilangan kerusi dan kelayakan sebagai wakil rakyat jika membelot.

Justeru, hanya dengan meminda Perlembagaan membo­lehkan Akta Antilompat Parti dilaksanakan di peringkat negeri masing-masing.

Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, dengan adanya Akta Antilompar Parti tersebut secara tidak langsung ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi berparlimen dan mandat yang diberikan.

“Bila peruntukan ini dipinda, kemudian barulah akta-akta persekutuan atau peringkat negeri menjadi sah. Kalau tidak, lompat parti ini sampai bila-bila tidak akan selesai.

“Kalau disebabkan pindaan tidak boleh dibuat kerana darurat atau belum ada tarikh rasmi Parlimen bersidang, boleh saja adakan persidangan khas bagi membahaskan usul pindaan Perlembagaan yang diwakili semua wakil rakyat.
“Jangan tunggu Parlimen bersidang kerana Parlimen ada jadual sendiri dan ada beberapa usul dalam aturan mesyuarat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hasan mempertahankan bahawa tindakan lompat parti tidak salah kerana tak bercanggah dengan Perlembagaan.

Untuk rekod, Pulau Pinang sudah melaksanakan Akta Antilompat Parti namun tidak sah kerana tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Setakat ini, tiada peruntukan khusus bagi wakil rakyat hilang kelayakan dan kerusi jika lompat parti. Perkara 48 antaranya menyatakan seseorang hilang kelayakan jika disabitkan atas suatu kesalahan oleh mahkamah.

Senada dengan Mohamed Haniff, Pakar perlembagaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, definisi lompat parti memerlukan perincian sebelum pindaan dilakukan.

Menurut beliau, tanggungjawab bagi menghalang wakil rakyat lompat parti terletak di peringkat Persekutuan melalui akta dan ADUN tiada kapasiti dalam hal tersebut.

“Jika seorang wakil rakyat keluar daripada parti tanpa menyertai parti lain, atau parti itu terbubar yang mana mungkin masih kekal dalam parti namun pada jumlah kecil dan keluar tubuhkan parti baharu, adakah ia dikategorikan sebagai lompat parti?,” soalnya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar pula berkata, tindakan lompat parti diakui tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, namun budaya tersebut salah dari segi moral dan integriti pemimpin politik terbabit.

Menurut beliau, bagi memperkenalkan sebuah undang-undang atau akta Antilompat Parti, ahli parlimen, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, perlu sepakat dengan membawa perkara tersebut ke Dewan Rakyat bagi meminda Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu.

“Langkah tersebut penting bagi menjamin kestabilan kerajaan selepas pilihan raya akan datang,” katanya.

Katanya, budaya lompat parti dilihat sudah menjadi rutin sesetengah ahli politik untuk kepentingan diri dan budaya tersebut perlu segera dihentikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN