KUALA LUMPUR: Pembangkang berpandangan, kerajaan perlu mendapatkan ‘restu’ dan sokongan mereka jika mahu meminda Perlembagaan Persekutuan selepas keistimewaan itu hilang sebaik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sepatutnya lebih ramai lagi ahli parlimen bersama pembangkang selepas ini melihat prinsip Syed Saddiq yang tidak boleh dikompromi oleh sesiapa.
“Ini (hilang sokongan) tidak memberi ruang seluasnya kepada kerajaan untuk membuat apa sahaja (termasuk meminda Perlembagaan). Sekarang, apa yang perlu ialah kerajaan kena berbincang dengan pembangkang. Tiada ruang lagi untuk buat pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana sudah terhad.
“Ruang ini memberi satu akauntabiliti yang lebih besar pada kerajaan dengan mengambil kira rujukan kepada semua kelompok (khususnya pembangkang). Mahu tidak mahu, kerajaan sekarang harus merujuk kepada kami,” kata beliau ketika ditemui di Parlimen semalam.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Wan Ahmad Kamal pula meragui kerajaan semasa mempunyai sokongan mutlak meskipun hanya seorang ahli parlimen kerajaan menarik sokongan.
PENGUNDI
“Saya yakin, beberapa ahli parlimen lain, jika diberi pilihan untuk mengundi dalam dewan, mungkin tidak bersama dengan kerajaan. Tetapi, saya tidak mahu buat spekulasi berlebihanlah. Cuma, ini adalah satu kemenangan buat pembangkang kerana berjaya menafikan dua pertiga sokongan mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali berkata, kehilangan sokongan dua pertiga ahli parlimen kerajaan amaran bahawa kerajaan tidak mempunyai sokongan mutlak.
“Ini adalah wake up call kepada kerajaan. Maknanya, mereka harus sedar, kerajaan masih tidak stabil, mereka bukannya majoriti besar. Kerajaan ini adalah campuran dengan pelbagai ideologi. Jadi, kalau mahu pinda Perlembagaan yang berat-berat, tidak sesuai,” katanya.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kerajaan seharusnya menghargai tindakan Syed Saddiq sebelum ini dan menerima kritikannya secara terbuka demi kebaikan.
“Saya mengalu-alukan kehadiran Syed Saddiq sebagai kuasa ketiga dan menjadi sebahagian daripada pembangkang. Dengan kebolehan beliau, saya kira dapat membantu menguatkan lagi pembangkang,” katanya. – UTUSAN










