BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak ada keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya hanya orang Melayu menjadi Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata, sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga hari ini calon Perdana Menteri adalah orang Melayu dan Perlembagaan yang ada melindungi hak orang Melayu dan Bumiputera.
Menurut beliau, peluang orang Melayu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri tidak pernah terjejas dan terancam.
“Setakat ini tidak ada keperluan (pinda Perlembagaan). Tidak ada permohonan serius dan tidak ada perbincangan sejak merdeka sampai sekarang.
“Calon Perdana Menteri yang Melayu, lepas ini pun calon daripada kerajaan adalah Melayu. Calon pembangkang pun Melayu jadi maju terus. Hak rakyat buat semua warganegara kita pelihara. Jaga kepentingan semua rakyat, semua kaum, semua wilayah,” kata beliau selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar di Bangi semalam.
Ole itu, kata Anwar, tidak perlu mana-mana pihak mempersoalkan sama ada Perdana Menteri perlu dalam kalangan orang Melayu atau bukan Melayu.
“Sekarang ini ada perlembagaan, ada peraturan, ini bukan isu dan sekarang ini tidak pernah menjadi isu. Jadi, jangan kita rumitkan keadaan seperti juga yang diuar-uarkan pembangkang soal persempadanan semula.
BERBANGKIT
“Perkara tidak berbangkit pun dia nak laga lagakan, nak bagi orang Melayu marah, orang Cina marah, ini tidak berbangkit, dia tak faham Perlembagaan sedangkan ia membolehkan kita mengkaji semula hanya pada akhir 2026.
“Dia nak sibuk ini pasal apa. Carilah modal bantu bagaimana nak angkat ekonomi, nak kurangkan beban rakyat, jangan duduk gaduh sahaja. Tak letih ke?” soal Perdana Menteri.
Kelmarin, Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Anwar kini mempunyai sokongan besar diperlukan untuk meminda Perlembagaan termasuk lima Ahli Parlimen Bersatu yang mengalih sokongan kepadanya.
Langkah itu menurut Ketua Armada Bersatu itu dapat menoktahkan pertikaian berhubung isu berkenaan seperti dibangkitkan veteran DAP Lim Kit Siang, baru-baru ini.
Rabu lalu, Kit Siang memberi keterangan kepada polis susulan kenyataan kontroversi “tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi perdana menteri”.
Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menyekat bukan Melayu sebagai Perdana Menteri tidak perlu kerana realitinya tidak mungkin seorang bukan Melayu akan dipilih bagi jawatan tersebut.
Menurut beliau, kaum bukan Melayu sudah memahami keperluan pentadbiran negara diketuai orang Melayu.
PEMBANGKANG
Justeru, katanya, pembangkang diminta untuk tidak menggangu kestabilan yang ada dengan menyentuh isu-isu berkaitan kaum dan agama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, cadangan meminda Perlembagaan bagi menyekat orang bukan Melayu Islam menjadi Perdana Menteri boleh mencetuskan polarisasi dan ketidakharmonian antara kaum.
Menurut beliau, pindaan itu juga boleh menjejaskan hubungan dan menimbulkan percanggahan dengan wakil rakyat bukan Melayu yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Dari segi Perlembagaan, (cadangan itu) boleh dibawa (dan dipinda) selagi dapat dua per tiga majoriti. Namun, persoalannya apakah mahu ia dimasukkkan? Saya pasti ramai orang Melayu mahu sebab kerajaan sentiasa diketuai orang Melayu.
“Jadi perkara ini akan menimbulkan pelbagai dilema. Dalam konteks hubungan sekarang, ia bukan sahaja bergantung sokongan orang Melayu, tetapi ada sejumlah wakil rakyat bukan Melayu yang menyokong kerajaan.
“Wakil-wakil rakyat bukan Melayu dan Sabah serta Sarawak mungkin tidak menyokong. (Sebab) bermakna kalau letak orang Melayu, bumiputera juga tidak layak menjadi perdana menteri,” katanya ketika dihubungi, semalam. – UTUSAN










