Bersatu pinda perlembagaan sekat ahli sokong parti lain?

Bersatu pinda perlembagaan sekat ahli sokong parti lain?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meminda perlembagaannya pada perhimpunan agung tahunan yang bermula Khamis ini bagi mengelak ahlinya daripada menyokong parti lawan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pemimpin tertinggi Bersatu yang enggan dinamakan berkata, pindaan itu antara lain akan menetapkan ahli parti yang menyokong parti lawan akan digugurkan keahlian secara automatik manakala yang menjadi ahli Parlimen perlu mengosongkan kerusi mereka.

Katanya, pindaan tersebut merupakan perkara yang sama dibawa pada perhimpunan Bersatu Mac lalu, namun difahamkan, ia ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berikutan masalah teknikal.

“Jika ingat lagi, pada bulan Mac lalu, kita sudah buat Perhimpunan Bersatu 2022 di Menara PGRM. Dalam perhimpunan agung itu, kita cuba pinda perlembagaan, kukuhkan klausa di mana kalau ahli parti sokong parti lawan, dia hendaklah melepaskan jawatannya, kalau dia ahli Parlimen pula, dia kena kosongkan kerusi.

“Tetapi masalahnya terdapat masalah teknikal ketika itu, Pengerusi Tetap tidak umumkan kehadiran dua pertiga untuk pinda perlembagaan, RoS kata tidak ada dua per tiga dalam perlembagaan. Sebab itu perkara tersebut tidak dipinda.

“Maka, kita akan bawa perkara yang sama pada perhimpunan kali ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, empat ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memberi alasan demi mempertingkatkan pembangunan dan bantuan untuk kawasannya ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.

Empat ahli Parlimen berkenaan ialah Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abd Rahman (Labuan).

Kesan daripada itu, parti menggantung keahlian mereka selama enam tahun, namun status milik Bersatu kerana tiada pemecatan yang dibuat terhadap keempat-empat ahli berkenaan.

Ketua Armadanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum ini turut berkata, tindakan penggantungan yang dikenakan ke atas empat ahli Parlimen Bersatu itu merupakan pendirian tegas parti, sekali gus diyakini tidak akan ada lagi yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri.

“Kami sudah ambil tindakan disiplin kepada ahli Parlimen tersebut, itu pendirian tegas dan insya-Allah ahli lain istiqomah bersama kami. Saya harap tidak ada dan yakin tidak ada lagi yang menyokong Perdana Menteri,” ujarnya.

Malah, sebelum ini Utusan Malaysia turut melaporkan yang Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, beberapa langkah komprehensif diambil oleh parti dengan mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan dengan wakil rakyat bagi mengekang kejadian beralih sokongan itu berulang.

Perhimpunan Agung Bersatu Ke-6 dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor mulai Khamis hingga Sabtu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN