FAMA boleh bantu simpan, pasarkan strawberi - Utusan Malaysia

FAMA boleh bantu simpan, pasarkan strawberi

PEKERJA ladang di Tanah Rata, Cameron Highland, Pahang menunjukkan buah strawberi yang dikeluarkan di kawasan berkenaan. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengusaha strawberi yang berdepan lambakan buah ekoran kekurangan pelancong ke Cameron Highlands diminta menjalinkan usahasama dengan Jabatan Pertanian negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usahasama itu bagi membolehkan produk strawberi dijual di pasar tani dan pasar pagi di seluruh negeri ini.

“Kerajaan negeri boleh minta Jabatan Pertanian dan FAMA mengadakan pertemuan dengan pengusaha di Cameron Highlands bagi membincangkan hal ini,” katanya di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelmarin, akhbar ini melaporkan dalam seminggu ini dianggarkan kira-kira 20 tan strawberi Cameron Highlands tidak terjual.

Difahamkan, lambakan itu membabitkan kira-kira 20 pengusaha buah berkenaan. Cameron Highlands juga berdepan masan tiada pengunjung ke situ akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan di sebuah ladang strawberi mendapati terdapat buah busuk di atas pokok kerana terlalu ranum kerana tidak dikutip pengusahanya.

Situasi sedemikian berlaku kerana strawberi yang disimpan terlalu banyak menyebabkan peti simpanan dingin yang dimiliki pengusahanya penuh.

Utusan Malaysia juga difahamkan, ketika pelaksanaan PKP tahun lalu, terdapat pengusaha strawberi yang terpaksa membuang kira-kira tujuh hingga lapan tan buah berkenaan kerana rosak dan busuk.

Ini sekali gus menyebabkan kerugian kepada pengusahanya yang mana secara kebiasaannya strawberi dijual antara RM20,000 ke RM30,000 satu tan.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, selain menjalin usahasama dengan Jabatan Pertanian dan FAMA, pengusaha strawberi di Cameron Highlands boleh menghantar buah itu keluar dari negeri ini.

“Ini kerana rentas negeri dibenarkan jika pengusaha hendak jual strawberi luar dari Pahang, cuma pelancong luar negeri saja tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Mustahapa Awang berkata, agensi itu boleh membantu memasarkan lambakan strawberi Cameron Highlands ke sekitar Lembah Klang dan Kelantan serta dikembangkan ke seluruh semenanjung.

Katanya, FAMA akan membantu mengaturkan pasaran atau menemukan pembeli-pembeli serta pengusaha strawberi.

“Pengusaha strawberi akan dibimbing untuk memasar dan mempromosikan strawberi secara dalam talian menerusi Portal Agrobazaar Online, Shoppe, Facebook Marketplace dan aplikasi kumpulan WhatsApp,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sekiranya pengusaha memerlukan tempat penyimpanan, lembaga itu boleh membantu dari segi penyimpanan.

“Kita mempunyai dua lokasi bilik penyimpanan di Perak iaitu Kompleks Bilik Sejuk Ipoh dan Pusat Operasi FAMA Simpang pulai @ RTC Perak,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×