Dakwaan AIM diswastakan tak benar - Utusan Malaysia

Dakwaan AIM diswastakan tak benar

Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Lajim Ukin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menafikan dakwaan serta spekulasi yang menyatakan agensi itu bakal diswastakan sebaliknya AIM masih kekal sebagai badan amanah persendirian dengan berbekalkan peranan serta fungsi sedia ada.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, untuk itu AIM menerima beberapa cadangan kerjasama daripada beberapa syarikat swasta bagi menubuhkan Bank Digital di bawah inisiatif Bank Negara Malaysia.

Malah jelasnya, AIM sedang berusaha mengembangkan lagi peranannya untuk menjadi sebuah Bank Digital tanpa menjejaskan Skim Pinjaman Mikro Kredit khusus untuk sahabat AIM.

“Setelah menilai dan menerima maklum balas pelbagai pihak, AIM membuat keputusan akan terus kekal dengan prinsip, peranan dan fungsi seperti sedia ada tanpa menjejaskan kebajikan pekerja dan sahabat AIM.

“Bagi memastikan tanggungjawab dan matlamat ini terlaksana, AIM telah pun membuat pinjaman sebanyak RM1 bilion daripada kerajaan dan institusi kewangan dalam negara sepanjang penubuhannya, 17 September 1987,” katanya dalam kenyataan semalam.

Lajim memberitahu, fokus utama AIM pada tahun ini adalah untuk memperkasakan sahabat AIM sedia ada melalui pinjaman mikro kredit.

Katanya, AIM juga akan membantu sahabat dalam pemasaran digital sejajar dengan cabaran dihadapi akibat pandemik Covid-19.

“Selain itu, kita komited membantu sahabat yang terkesan akibat bencana dengan menyalurkan bantuan-bantuan sewajarnya,” katanya.

Peranan dan fungsi AIM, sebuah badan amanah persendirian yang ditubuhkan melalui Suratcara Perjanjian Amanah pada 17 September 1987 dan didaftarkan di bawah Trustees (Incorporation) Act. 1952.

AIM berperanan membantu usahawan miskin dan berpendapatan rendah terus kekal seperti mana yang termaktub dalam Akta Pemegang Amanah 1952.

AIM adalah sebuah badan bebas yang diwujudkan pada 1987 dengan berperanan memberi pinjaman mikro kepada kaum wanita daripada kelompok B40 untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di seluruh negara.

Sehingga kini, AIM telah memberi manfaat kepada 920,000 peminjam atau dikenali sebagai sahabat AIM. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya