Bukit Malut bakal berubah wajah - Utusan Malaysia

Bukit Malut bakal berubah wajah

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbual dengan seorang wakil penduduk di perkampungan Bukit Malut, Pulau Langkawi, semalam semasa meninjau ke penempatan tersebut yang kebanyakannya dihuni penduduk berasal dari Myanmar. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Penempatan penduduk yang berasal dari Myanmar di Bukit Malut di sini bakal berubah wajah menjadi perkampungan baha­ru ter­susun yang dilengkapi ke­mudahan asas untuk keselesaan pendu­duk.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad ber­ka­ta, tanah di kawasan ter­sebut akan disusun semula de­ngan menyediakan lot-lot ba­haru sebelum dijual kepada penduduk terlibat.

Bagaimanapun menurut­nya, lot-lot baharu tersebut akan dijual pada harga yang berpatutan dan penduduk yang tinggal di situ boleh membina rumah dan premis perniagaan mereka sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, tanah di kawasan penempatan di situ merupakan milik ke­rajaan negeri dan syarikat swasta.

“Mereka sanggup beli (ta­nah) itu dengan harga berpatutan. Jadi mereka boleh tinggal di sini (Bukit Malut) secara halal, bukan secara rampas harta orang.

“Tanah dah buat lot pun, dah ada dah. (Kawasan) baru ini kita kena buat lot. Kita kena tentukan jalan tersusun elok supaya dia tak berkecamuk, bila berkecamuk, nak bekal api dan air payah,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan me­ngadakan pertemuan dengan penduduk di Bukit Malut di sini semalam.

Utusan Malaysia pada 11 Mac lalu melaporkan penduduk yang berasal dari Myanmar di situ kebal sehinggakan sampai hari ini belum ada tindakan terhadap penempatan haram penduduk terlibat yang makin membarah di Bukit Malut di sini.

Lebih 10,000 penduduk yang berasal dari Myanmar yang mendiami kawasan Bukit Malut berterusan menceroboh tanah kerajaan negeri hingga mencemar imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Dianggarkan kira-kira 2,500 buah rumah didirikan secara haram di penempatan yang sinonim dengan gelaran Little Myanmar itu, yang turut mengancam ekologi alam sekitar khususnya kawasan paya bakau di pesisir pantai pulau legenda tersebut.

Dr. Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pada peringkat awal, jumlah penduduk menetap di kawasan tersebut tidak ramai seperti sekarang.

Bagaimanapun katanya, kawasan tersebut semakin padat apabila penduduk berkenaan berkeluarga dan mempunyai anak.

“Bertambah (penduduk) bukan orang baharu tapi (mereka) berkahwin sini dan dapat anak serta membesar di sini sampai 40 tahun,” tambahnya.

Selain itu beliau memberitahu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah mempunyai perancangan mengenai penempatan semula penduduk di kawasan ber­kenaan.

Katanya, perancangan tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana berlaku perubahan kerajaan dan peruntukan pembangunan di kawasan itu juga tidak diterima.

“Kita ada perancangan semasa kerajaan PH. Kita telah kenal pasti tempat mereka tinggal termasuk dalam laut pun kita nak buat secara teratur.

“Tetapi (selepas itu) ada pertukaran kerajaan dan bila ada pertukaran, duit (peruntukan) yang disediakan untuk Bukit Malut tidak sampai. Tapi kalau dapat duit, kita boleh buat apa yang kita janji,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga akan mendapatkan maklumat daripada Majlis Ke­selamatan Negara (MKN) mengenai perancangan yang bakal dibangunkan di kawasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini