‘Bilik perang’ sudah aktif - Zahid - Utusan Malaysia

‘Bilik perang’ sudah aktif – Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO mengaktifkan ‘bilik perang’ sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan persiapan itu sudah mencapai tahap 90 peratus.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa sama, parti itu telah mengumpul dan menganalisis data pilihan raya serta mengenal pasti kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menang.

Menurut beliau, jentera pilihan raya UMNO telah disusun di seluruh pelosok tanah air merangkumi peringkat bahagian, negeri serta nasional.

“Saya ingin beritahu, kesiapsiagaan kita berada di tahap lebih 90 peratus. Kita telah mengadakan bilik perang (war room), kita telah bukan sekadar mengumpul, tetapi juga sudah menganalisis data pilihan raya. Kita telah kenal pasti kawasan retain dan regain.

“Malah kami mempunyai pendekatan koordinasi secara mikro dalam setiap pusat daerah mengundi,” katanya dalam pertemuan di Ibu Pejabat UMNO di ibu negara baru-baru ini..

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO juga telah mengenal pasti calon di peringkat Parlimen serta DUN, malah turut mengumpul data individu dalam kalangan masyarakat.

Perkara itu, katanya, bertujuan memastikan calon yang dipilih mempunyai kriteria termasuk sokongan pengundi serta kesetiaan terhadap parti yang tidak berbelah bahagi.

“Sekarang kami berada di tahap pertama iaitu kenal pasti kerusi Parlimen dan DUN yang mencapai tahap boleh menang. Namun jika sampai ke tahap pilih calon nanti, keutamaan kami adalah kesetiaan kepada parti.

“Kita ada maklumat yang cukup lengkap untuk menilai seseorang itu, bukan hanya calon, tapi seseorang itu. Kita tidak mahu lagi berlaku, jika mereka mempunyai tahap kemenangan yang tinggi tapi tiada kesetiaan, mereka akan jatuh sebagai kategori ‘lariyun’,” katanya.

Mengulas ada kalangan pemimpin UMNO cenderung menyokong blok Perikatan Nasional (PN), katanya, kumpulan itu tidak demokratik kerana memilih tindakan menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), walhal majoriti bahagian UMNO sebulat suara menolak kerjasama dengan parti itu.

“Orang itu tidak bersemangat demokratik. Bukan sahaja sebab majoriti bahagian dah sebulat suara tolak Bersatu, tapi sebab mereka juga adalah ahli Majlis Tertinggi (MT). Jadi, harus akur kepada M,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa ada pengintipan dan perisikan telah dibuat bertujuan memintas gerak kerja UMNO.

Katanya, perkara ini dilakukan menggunakan peranti canggih yang dipasang bagi memintas komunikasi.

“Saya fikir, secermat kita pun, pasti ada alat pengintipan yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat. Bukan melalui seseorang, tapi melalui peranti-peranti yang lebih canggih sekarang ini. Saya tahu, sebab saya mantan (bekas) Menteri Pertahanan serta Menteri Dalam Negeri,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN