MBJB naik taraf lampu jalan di Johor Bahru - Utusan Malaysia

MBJB naik taraf lampu jalan di Johor Bahru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menaik taraf lampu jalan di bandar raya ini membabitkan kerja-kerja membekal dan memasang lampu jalan jenis Light Emitting Diode (LED) untuk Jalan Persekutuan.

Datuk Bandarnya, Datuk Adib Azhari Daud berkata, projek yang bernilai RM13.54 juta itu dijangka siap tahun ini.

Katanya, sebanyak 3,350 unit lampu jenis LED dipasang bagi menggantikan lampu jenis konvensional.

“MBJB menandatangani memorandum persefahaman bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan lampu jalan di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri.

“Menerusi kerjasama ini, MBJB akan membuat penyelenggaraan untuk keseluruhan sistem lampu jalan di bawah tanggungjawab selenggaraan pihak JKR,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, ini adalahh satu langkah proaktif yang diambil oleh MBJB bagi menaik taraf lampu-lampu jalan yang sedia ada selain memastikan aduan mengenai kerosakan lampu jalan dapat diselesaikan.

“Sebanyak tiga projek telah siap dilaksanakan pada tahun lalu, dengan jumlah kos sebanyak RM15.62 juta, iaitu kerja-kerja membekal dan memasang tiang lampu jalan dekoratif.

“Ini melibatkan Jalan Lingkaran Dalam, Jalan Ismail Sultan dan Lebuhraya Sultan Iskandar serta kerja membaiki kabel lampu jalan bagi seluruh laluan Persekutuan dibawah pentadbiran MBJB,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Adib Azhari, sepanjang tahun lalu pula, pihaknya telah menerima sebanyak 13,596 aduan yang mana kategori pokok adalah aduan tertinggi diterima iaitu sebanyak 2,465 aduan.

Katanya, ia diikuti dengan aduan kategori jalan (1,860), aduan berkaitan haiwan atau serangga (1,595), aduan kategori lampu (1,570) dan aduan berkaitan pembersihan awam (1,205) selain 9 aduan telah disalurkan kepada jabatan dan agensi kerajaan lain.

“Daripada jumlah aduan yang diterima, sebanyak 98.54 peratus iaitu 13,398 aduan telah diselesaikan, saras dengan dasar ‘No Wrong Door Policy’. Kami terbuka untuk menerima aduan awam meskipun penyelesaian aduan tersebut bukan di bawah tanggungjawab MBJB,” katanya.

Tambahnya, aduan itu diterima melalui 15 sumber aduan melibatkan laman sosial seperti Facebook atau WhatsApp, borang aduan di laman web MBJB, panggilan telefon, saluran Ahli Majlis, aplikasi Respons Rakyat, emel, aplikasi i-Tegur dan lain-lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya