Hampir 900 juta rokok, 1.74 liter juta arak dirampas tahun lalu - Utusan Malaysia

Hampir 900 juta rokok, 1.74 liter juta arak dirampas tahun lalu

ABDUL LATIF ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 894.4 juta batang rokok bernilai RM74.96 juta membabitkan jumlah cukai sebanyak RM661.9 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, rampasan itu meliputi 2,104 kes dengan peningkatan sebanyak 84.41 peratus dari segi bilangan batang rokok yang dirampas berbanding tahun sebelumnya.

“Berbanding tahun 2019, ini juga adalah peningkatan sebanyak 83.41 peratus peningkatan dalam nilai rampasan rokok dan peningkatan sebanyak 84.41 peratus bagi duti serta cukai terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Latif menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-39 tahun 2021 bertemakan ‘Kastam Mendukung Pemulihan, Pembaharuan Dan Ketahanan Demi Rantaian Bekalan yang Mampan’ menerusi saluran Facebook Live JKDM.

Dalam pada itu, Abdul Latif berkata, JKDM membuat rampasan sebanyak 1.74 juta liter minuman keras pada tahun lalu dengan anggaran nilai sebanyak RM22.36 juta serta duti cukai terlibat berjumlah RM45.24 juta.

Kata beliau, rampasan itu diperoleh daripada 738 kes melibatkan minuman keras dan bir sepanjang tahun lalu.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa kayu merah adalah antara komoditi rampasan utama dan terbesar diperoleh JKDM bagi kes-kes yang melibatkan Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) tahun lalu.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 24,786 kilogram kayu merah dengan nilai dianggarkan berjumlah RM7.8 juta dirampas.

“JKDM juga merampas sejumlah 6,610 kilogram sisik tenggiling dengan nilai rampasan sebanyak RM86.6 juta sepanjang tahun lalu,” katanya.

Menurut Abdul Latif, JKDM menutup ketirisan hasil negara yang dianggarkan sebanyak RM5.381 bilion melepasi sasaran ditetapkan sebanyak RM2.96 bilion bagi tahun sama.

Beliau berkata, ketirisan hasil itu terdiri daripada cukai aktiviti rampasan, hasil-hasil lain termasuk cukai yang dipungut semula, penyelesaian Akaun Belum Terima (ABT) meliputi kutipan, remisi, pembatalan serta pelarasan dan bil tuntutan yang dikeluarkan oleh Bahagian Pematuhan JKDM.

“JKDM juga mengutip hasil sebanyak RM38.66 bilion berbanding unjuran yang ditetapkan iaitu berjumlah RM36.305 bilion dengan pencapaian sebanyak 106.5 peratus,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah ia mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya