PETALING JAYA: Pakar ekonomi yakin kesan pemulihan ekonomi boleh dilihat bermula suku kedua tahun ini berdasarkan petunjuk semasa termasuk susulan penerimaan vaksin penduduk peringkat global.
Pemulihan ekonomi bergerak lebih pantas apabila program vaksinasi diperluaskan kepada majoriti penduduk sesebuah negara kerana ia menyebabkan kadar jangkitan jatuh mendadak.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, selain itu paras harga minyak Brent yang meningkat mencecah paras AS$60 (RM242) setong masa ini juga memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi positif tahun ini.
Menurut beliau, semua perkembangan tersebut sekali gus bakal memberi kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jangkaan pendapatan fiskal meningkat lebih RM300 juta daripada setiap pertambahan AS$1 (RM4.04) harga minyak dunia.
“Peningkatan harga minyak secara tidak langsung memberi indikator pertambahan permintaan global akibat sektor ekonomi yang kembali rancak. Rakyat harus akur dengan perkembangan harga minyak yang meningkat ini.
“Secara rasional saya ramal pada suku kedua tahun ini, kesan pemulihan dapat dirasakan dan dinikmati bukan sahaja di peringkat global, malah di negara kita juga.
“Proses pemulihan dan seterusnya pengukuhan dan pemerkasaan ini juga membawa maksud lebih banyak peluang pekerjaan serta perdagangan dan aliran pelaburan lebih baik selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Baharom berkata, sektor penerbangan dan pelancongan antara sektor terawal diramalkan bangkit dalam masa terdekat sebaik kekangan perjalanan dimansuhkan.
“Saya jangka selepas bulan Mei atau Jun tahun ini, sektor penerbangan bakal mencatatkan pertumbuhan pesat. Di negara kita sendiri, dengan suntikan khazanah kepada Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat ini bakal bangkit kembali,” kata beliau.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, ekonomi akan pulih hanya dapat dilihat selepas fasa kedua dan fasa ketiga program vaksinasi berlangsung.
“Kemungkinan besar majoriti penduduk dewasa Malaysia akan mendapat vaksin selepas bulan Jun ini iaitu pada permulaan separuh tahun kedua.
“Pada ketika itu kadar jangkitan dijangka menjadi minimum dan ekonomi akan kembali rancak pada suku tahun ketiga 2021,” kata beliau ketika dihubungi.
Bagaimanapun, menurut beliau, pemulihan ekonomi sangat bergantung kepada kerjasama rakyat yang mahu mengikut pelan kerajaan menghapuskan Covid-19.
“Jika semua akur menerima vaksin seperti dirancang, ada kemungkinan sektor ekonomi dan rentas sempadan akan dibenarkan semasa suku kedua tahun ini dan seterusnya ekonomi kembali bernafas,” katanya.
Razman juga berpendapat, sektor-sektor seperti hospitaliti dan pelancongan, hiburan, pengangkutan dan penerbangan akan pulih lebih pantas, lebih-lebih lagi jika wujud pasport vaksin dan gelembung perjalanan.
“Pasport vaksin adalah kaedah seperti akan dilaksanakan negara New Zealand dan Australia.
“Satu lagi kaedah ialah gelembung perjalanan yang mana kita membenarkan pelancong datang dari negara yang berjaya mengawal pandemik Covid-19 dengan berkesan.
“Jika kedua-dua kaedah ini berjaya dilaksanakan, sektor-sektor ini akan cepat pulih,” katanya. – UTUSAN








