SAUDARA PENGARANG,
BEBERAPA hari lalu, saya bersama kenalan kampung saya yang kini merupakan seorang Pegawai Penguatkuasa. Di meja kopi, turut ikut serta rakan-rakan sekerja dari jabatan yang sama dengan rakan saya itu.
Apa yang istimewa dalam perbualan tersebut ialah suara kejujuran dan kebijaksanaan dalam permintaannya kepada kami semua supaya “berdoa untuk memulihkan ekonomi” sekarang.
Mesej umumnya: Alangkah bagus kita semua dapat menggerakkan semua rumah ibadat negara ini – dengan cara tersendiri, memohon dari Tuhan masing-masing (melalui sembahyang atau doa) agar terselamat negara ini dari kegawatan yang lebih buruk.
Beliau mencadangkan setiap masjid, kuil, gereja, gurdwara, atau apa sahaja nama yang diberikan pada rumah ibadat itu untuk sertai National Prayer. Tidak kiralah apa namanya dalam amalan agama masing-masing – sembahyang hajat bagi umat islam misalnya. Asalkan suara itu senada memohon kesejahteraan dan keselamatan.
Usahlah kita memikirkan diri sendiri sahaja, katanya lagi. Kita harus turut mendoakan agar negara-negara jiran turut pulih dari kegawatan ekonomi. Juga mendoakan kesejahteraan warga kita sendiri yang teruk terpukul oleh krisis ekonomi itu. Kata beliau lagi, “Biarlah kita sama-sama berdoa agar ahli perniagaan kita akan pulih dan agar mereka tidak perlu menutup kilang dan perniagaan yang akan menyebabkan ribuan rakyat kehilangan kerja dan pendapatan.”
SUARA KEPRIHATINAN
Saranan rakan saya, merupakan salah satu dari sekian banyak luahan rasa rakyat Malaysia. Ia datang dari segenap lapisan masyarakat, juga organisasi massa dan pertubuhan politik.
Sedikit demi sedikit suara seperti ini muncul. Rakyat Malaysia mulai sedar bahawa masalah ini tidak datang diundang. Lagi pula tidak ada gunanya menunding jari mencari salah sesiapa pada masa ini.
Sekarang ialah masa untuk bertindak. Memang pada masa ini kerajaan sedang mencari jalan untuk menambah baik prestasi ekonomi negara kita. Tetapi itu bukan bermakna rakyat harus berdiam diri. Melalui keyakinan beragama, rakyat Malaysia boleh memanjangkan harapan itu melalui doa dan sembahyang.
Limpahan rasa rakyat melalui pelbagai platform termasuk sedemikian banyak hantaran di media sosial cukup menyatakan keperitan itu. Rakyat Malaysia sebenarnya semakin sedar bahawa krisis ini tidak mudah ditangani. Juga segelintir anggota kabinet, penasihat ekonomi dan otak terbaik perkhidmatan awam belum tentu boleh menjanjikan lampu Aladdin bagi menyelesaikan segala-galanya dalam sekelip mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan kita bersabar, berdisiplin, jangan panik dan percaya pada diri sendiri. Hanya dengan keyakinan kita dapat melawan badai, nasihatnya. Rakyat dituntut untuk berkorban. Pengorbanan datang dengan kos emosi dan kebendaan yang bukan kecil.
Anwar tidak sahaja bercakap kepada ahli politik, tokoh korporat, pengurus dana dan ahli perniagaan tetapi beliau membawa mesej itu langsung kepada rakyat kecil bawah sana, suri rumah, pekedai, orang kampung, rakyat jelata.
Kita juga harus sedar – manusia hanya boleh berikhtiar. Bagi negara seperti Malaysia, rakyat meletakkan kepercayaan kepada Tuhan sebagai teras Rukun Negaranya. Dalam kegawatan hari ini, selain sekian banyak usaha yang berjalan, tentulah doa boleh menjadi penawar jiwa dan minda yang sebaliknya. – UTUSAN
ARIF MUSTAQIM MD. SALLEH
Editor Kandungan ZRA Strim
Kuala Lumpur, Malaysia










