Dividen KWSP: Konvensional  5.20%, Syariah 4.90% - Utusan Malaysia

Dividen KWSP: Konvensional  5.20%, Syariah 4.90%

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen bagi tahun 2020 sebanyak 5.20 peratus bagi Simpanan Konvensional manakala 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah.

Peratusan itu lebih rendah berbanding dividen 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.00 peratus bagi Simpanan Syariah yang dicatatkan pada tahun 2019.

Malah, dividen itu adalah yang terendah dalam tempoh lebih 10 tahun sejak kali terakhir KWSP mengumumkan dividen serendah 4.50 peratus pada 2008.

Jumlah agihan bagi Simpanan Konvensional pula sebanyak RM42.88 bilion manakala jumlah agihan bagi Simpanan Syariah berjumlah RM4.76 bilion.

Secara keseluruhannya, jumlah agihan dividen bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM47.64 bilion.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, dengan purata lima tahun dividen sebenar pada kadar 4.62 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 4.32 peratus bagi Simpanan Syariah selepas diselaraskan untuk inflasi, KWSP telah melebihi sasaran strategik dengan pengisytiharan purata dividen sebenar tidak kurang daripada 2.00 peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut.

Oleh  itu, beliau berpendapat KWSP berjaya mencatatkan prestasi yang memberangsangkan untuk tahun 2020 walaupun mengharungi situasi tidak jangka iaitu pandemik Covid-19, dan dalam persekitaran unik yang menyaksikan dunia berhadapan dengan krisis berkembar iaitu kesihatan dan ekonomi.

“KWSP telah berjaya melindungi simpanan persaraan ahli dengan baik, selain memenuhi keperluan mendesak untuk mereka menangani cabaran semasa. Ada ketikanya, KWSP perlu mengambil keputusan yang sukar bagi memastikan ahlinya mampu bertahan dalam situasi semasa yang mencabar dan pada masa sama mengimbangi keperluan masa depan mereka.

“Penyebaran dan kebolehjangkitan Covid-19 yang pantas menyebabkan ia sukar dibendung dan dikawal. Namun, langkah proaktif kami dalam menangani kesan  wabak tersebut telah membantu kami untuk mengatasi pelbagai cabaran,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi iaitu sebanyak RM60.98 bilion, yang mana RM6.15 bilion diperuntukan kepada Simpanan Syariah.

Setakat Disember 2020, 33 peratus daripada aset pelaburan KWSP berada di luar negara, merangkumi pelbagai kelas aset, seperti ekuiti, khususnya ekuiti asing yang terus menjadi pemacu pulangan pendapatan pelaburan sebanyak RM28.71 bilion.

KWSP juga mengambil langkah proaktif dengan mengambil kira turun nilai kos sebanyak RM7.71 bilion daripada ekuiti tersenarainya untuk memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat.

Kelas aset Hartanah dan Infrastruktur merekodkan pendapatan sebanyak RM5.66 bilion. 

Aset pelaburan keseluruhan KWSP meningkat 7.9 peratus kepada RM998 bilion, dengan nilai pasaran mencecah RM1.02 trilion pada hujung tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya