PKP: Ibu bapa jadi mangsa ‘baran’ anak - Utusan Malaysia

PKP: Ibu bapa jadi mangsa ‘baran’ anak

SITI KAMSIAH HASSAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penularan Covid-19 menyaksikan banyak syarikat mahupun perniagaan terpaksa mengambil keputusan menghentikan operasi khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tindakan tersebut sekali gus menjadi punca semakin ramai hilang kerja atau pendapatan.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, bilangan ibu bapa didera anak-anak meningkat apabila 1,110 kes dilaporkan pada tahun lalu.

Menurut beliau, kebanyakan kes berpunca daripada anak-anak yang terdesak selepas hilang kerja atau gaji dipotong dan segelintir tidak dapat terlibat dengan aktiviti haram susulan pelaksanaan PKP atau ada dalam kalangan mereka terjerumus dengan dadah.

“Bermula April sehingga Disember tahun lalu, jumlah mangsa dera membabitkan ibu bapa meningkat dan analisis kita mendapati anak-anak jadi berang apabila ibu bapa tidak memenuhi kehendak mereka dengan menyediakan bantuan wang, sekali gus mencetuskan kemarahan yang akhirnya mereka mengasari orang tua.

“Kes tertinggi melibatkan ibu bapa berusia 46 hingga 59 tahun apabila 559 mangsa membuat aduan mereka didera.

“Dalam situasi PKP tahun ini, diramalkan bertambah lagi mereka yang hilang pendapatan seterusnya tidak mustahil kes dera ibu bapa terus meningkat,” katanya ketika ditemu bual secara dalam talian baru-baru ini.

Siti Kamsiah berkata, perselisihan faham berpunca masalah kewangan merekodkan jumlah tertinggi punca kejadian dera apabila sebanyak 519 kes dicatatkan polis dalam tempoh itu.

Jelas beliau, kebanyakan kes-kes yang dilaporkan menjadi pendera melibatkan anak-anak berusia 30 hingga 38 tahun.

Bagaimanapun, Siti Kamsiah berkata, statistik keganasan rumah tangga dalam tempoh sama menunjukkan penurunan apabila sebanyak 5,260 kes dilaporkan pada tahun lalu berbanding 5,529 pada tahun 2019.

“Malah keganasan rumah tangga turun lima peratus. Faktor turun boleh dikaitkan dengan suami isteri pada tahun lalu ramai bekerja dari rumah, jadi tidak timbul lagi isu syak wasangka antara mereka,” kata beliau.

Kata beliau, sebelum tempoh PKP kejadian keganasan rumah tangga banyak berpunca daripada masalah cemburu, curang dan perselisihan faham.

“Jadi, jika ada yang mengatakan kes keganasan rumah tangga meningkat kerana PKP, analisis kami tidak menyokong teori itu.

“Namun tidak mustahil trend itu akan berubah jika pasangan itu berdepan masalah kewangan atau salah seorang terlibat dalam aktiviti tidak sihat yang akhirnya menjadi punca berlaku pertelagahan dalam keluarga berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN