GUA MUSANG: Lebih 300 masyarakat Orang Asli di Kampung Aring 5, Pos Lebir di sini tidak sabar menikmati kemudahan telekomunikasi dan internet lebih baik, susulan rancangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membina sebuah menara di situ.
Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, penduduk yang sekian lama berdepan dengan masalah perhubungan akibat capaian internet dan telekomunikasi, rata-ratanya teruja apabila diberitahu usaha bakal dilaksanakan SKMM itu dalam masa terdekat.
Katanya, penduduk juga lega dan gembira kerana keluhan mereka mengenai masalah itu mendapat perhatian kerajaan serta diambil tindakan sewajarnya.
“Sudah berpuluh tahun kami berdepan masalah telekomunikasi, jadi kami amat berharap projek pembinaan menara itu dilaksanakan secepat mungkin.
“Sebelum ini kampung kami ini hanya ‘menumpang’ menara telekomunikasi dari kawasan lain dengan capaian internet sangat terhad atau tiada langsung,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini semalam.
Sementara itu, seorang penduduk, Zul Hek, 44, berkata, mereka selama ini bukan sahaja gagal menikmati akses internet, malah liputan talian telefon sangat terhad di kampung itu.
“Ketiadaan line telefon menyebabkan kami sukar berhubung terutama ketika berlaku kecemasan atau bencana di kawasan kampung.
“Untuk membuat panggilan telefon, kami terpaksa ke kawasan tinggi atau berbukit. Kalau nak guna internet pula, kami terpaksa keluar terus dari kampung dan ke pekan terdekat,” katanya.
Semalam, SKMM dalam kenyataannya memaklumkan telah melakukan tinjauan sebagai tindakan susulan terhadap aduan penduduk Orang Asli di Kampung Aring 5 yang menghadapi masalah tiada capaian internet di kawasan itu. – UTUSAN ONLINE










