PETALING JAYA: Selepas i-Lestari dan i-Sinar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekali lagi menjadi harapan kepada golongan B40 dan M40 berhubung masalah ketiadaan gajet untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Pakar ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berpendapat, kerajaan perlu membenarkan semula pengeluaran Akaun 1 atau Akaun 2 KWSP bagi tujuan pembelian gajet untuk PdPR.
Katanya, melihat kepada situasi semasa, cadangan itu dilihat relevan memandangkan gajet itu sangat diperlukan pada masa ini.
Jelasnya, KWSP sudah mempunyai pengalaman dan prosedur berhubung pengeluaran Skim Pengeluaran Pembelian Komputer (SPPK) yang pernah diimplementasikan sebelum ini, sebelum dihentikan pada Ogos 2002.
“SPPK perlu dikembalikan kerana dalam norma baharu ini setiap keluarga perlukan gajet. Seorang murid perlukan satu gajet, tak boleh berkongsi kerana PdPR berlangsung serentak.
“Ini pun perkara kecemasan, maka KWSP perlu sekali lagi ringankan beban ahli-ahlinya memandangkan ia adalah satu keperluan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada awal Januari 2017, perkara sama pernah dibangkitkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong berkenaan cadangan mewujudkan semula kemudahan pengeluaran KWSP untuk membeli komputer.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Keilmuwan Nasional, Zambri Mohd. Isa pula mencadangkan, kerajaan sepatutnya menggunakan semula peruntukan pendidikan yang tidak dipakai pada tahun lalu bagi membiayai pemberian gajet percuma kepada murid tidak berkemampuan.
Beliau berkata, berikutan sekolah tidak beroperasi sepenuhnya pada tahun lalu, pastinya terdapat lebihan peruntukan antaranya seperti bajet untuk pembayaran utiliti dan aktiviti kokurikulum.
“Lama sekolah tak beroperasi, pastinya ada peruntukan yang tidak disentuh. Jadi ia boleh dijadikan dana bagi pembelian peranti untuk PdPR.
“SPPK pun bagus sebagai salah satu penyelesaian terutama kepada mereka yang mencarum. Tetapi apabila melibatkan keluarga termiskin, saya fikir memberikan secara percuma oleh kerajaan adalah mekanisme terbaik,” ujarnya. -UTUSAN










