Covid-19: Polis tak bagi muka lagi - Utusan Malaysia

Covid-19: Polis tak bagi muka lagi

ACRYL SANI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan bertolak ansur malah akan bertindak lebih keras dengan tidak lagi memberi muka kepada sesiapa bagi menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di lokasi-lokasi tumpuan awam.

Setiap hari secara purata, polis melakukan 45,000 hingga 50,000 pemeriksaan di seluruh negara dan tidak mustahil akan meningkatkan lebih banyak lagi penguatkuasaan SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Susulan kes Covid-19 melonjak melebihi 2,000 sehari dalam beberapa hari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dijangka mengumumkan SOP lebih ketat bagi membendung wabak.

Memberitahu Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sebanyak 2,700 pasukan pematuhan melibatkan 12,000 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi digerakkan ke lokasi-lokasi awam bagi melakukan pemeriksaan rawak di premis-premis tumpuan orang ramai.

Menurut beliau, penegasan di dalam pematuhan SOP kini menjadi fokus utama PDRM ekoran kes harian positif Covid-19 semakin membimbangkan.

Kata beliau, arahan telah dikeluarkan kepada semua kontinjen negeri agar mereka terus mempertingkatkan pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan kompaun terus dikenakan kepada sesiapa yang berhimpun di kawasan sesak tanpa penjarakan fizikal. Orang awam juga boleh membuat aduan kepada pihak polis sekiranya mendapati ada yang tidak mematuhi SOP.

“Ingin diingatkan semula, meskipun sekatan pergerakan dilonggarkan di beberapa kawasan tidak bermaksud pematuhan SOP boleh diabaikan,” tegas Acryl Sani.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) seperti kepentingan pemakaian pelitup muka, mengelak berada di tempat sempit dan sesak, menjaga penjarakan fizikal serta mengelakkan dari bersentuhan sesama sendiri.

Ditanya kesediaan PDRM jika pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan-kawasan zon merah, Acryl Sani berkata, bilangan sekatan jalan raya (SJR) akan dibuka semula bergantung kepada kawasan terlbat PKP.

“Tempok pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu, sebanyak 1,500 SJR didirikan di seluruh negara berbanding kini, kita hanya buka 57 SJR menerusi Op Benteng dan enam lagi SJR bagi lokasi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Apa jua keputusan kerajaan berhubung tindakan-tindakan bagi mengawal penularan Covid-19, PDRM sentiasa bersedia lakukan penguatkuasaan,” jelasnya.

Pada 8 Januari lalu, Malaysia buat pertama kalinya mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 3,027 kes, sekali gus menjadikan kumulatif kes positif Covid-19 negara meningkat kepada 128,465 kes.

Sejak itu, kes positif harian wabak terus melebihi 2,000 sehari dan lonjakan angka tersebut meningkatkan kebimbangan rakyat.

Selain itu, perkembangan tersebut turut menimbulkan dilema kepada ibu bapa dan pelajar yang mengikut jadual akan mula meneruskan persekolahan secara fizikal bermula 20 Januari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN