‘Saya ingatkan abang bergurau’ - Utusan Malaysia

‘Saya ingatkan abang bergurau’

FATIN Nabila Huda Ismail (duduk kanan) ditenangkan rakan-rakannya di majlis pengkebumian Allahyarham Naim Hariri Kamaruddin di Tanah Perkuburan Raudhtaul Sakinah, Gombak, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Adik kepada bakal pengantin yang ditemukan lemas di Pantai Alur Tuman, Marang, Terengganu, kelmarin tidak menyangka jeritan Naim Hariri Kamaruddin, 31, yang meminta tolong adalah kerana Allahyarham benar-benar berada dalam situasi bahaya.

Siti Nur Atiqah, 26, berkata, pada mulanya dia menyangka arwah abangnya itu menjerit hanya untuk mengusik kerana sifatnya yang suka bergurau sebelum dihanyutkan ombak besar.

“Apabila saya dengar abang (Naim Hariri) meminta pertolo­ngan, saya hanya pandang ke arah dia kerana menyangka dia bergurau. Tetapi apabila dia menjerit meminta tolong sekali lagi, saya terus tahu bahawa dia bukan bergurau.

“Ramai orang di situ namun saya masih gagal menyelamatkannya. Saya cuba membaling boya beberapa kali tetapi gagal kerana talinya yang pendek,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis pengkebumian jenazah Naim Hariri di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Gombak, dekat sini semalam.

Mayat Naim Hariri ditemukan pasukan penyelamat terdampar di tepi pantai Kampung Alur Tuman, kelmarin, kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas di Pantai Kelulut, Jumaat lalu.

Naim Hariri yang merupakan anak sulung daripada dua beradik dijadualkan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Fatin Nabila Huda Ismail, 27, di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin di Bukit Payung, Marang pada pukul 10 pagi kelmarin.

Menurut Siti Nur Atiqah, sebelum kejadian, mereka hanya merancang untuk berjalan di gigi air sebelum Naim Hariri memberitahu hasratnya untuk mandi di pantai itu.

“Sewaktu kami berjalan, tiba-tiba abang berkata dia rasa seperti laut itu memanggilnya sebelum mengambil keputusan mandi sekejap.

“Saya benarkan kerana abang adalah seorang perenang yang sangat baik namun mungkin keadaan ombak yang agak besar membuatkan abang hanyut lebih jauh dan gagal berenang ke tepi pantai,” katanya.

Siti Nur Atiqah menggambarkan abangnya tidak banyak berubah beberapa hari sebelum tragedi itu tetapi sering mahu meluangkan masa bersama.

“Abang (Naim Hariri) banyak mengajak saya meluangkan masa bersama kerana katanya bila lagi untuk luangkan masa, namun saya sangka arwah berkata begitu kerana akan menamatkan zaman bujangnya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN