MELAKA: Cuti hujung minggu pertama selepas kebenaran rentas negeri diberikan kerajaan memberi hikmah buat peniaga dan pemain industri berasaskan pelancongan di negeri ini yang kembali mengukir senyuman di wajah masing-masing.
Meskipun belum mampu mengatasi kerugian sejak Oktober lalu disebabkan pelancong daripada Lembah Klang tidak dapat ke sini, sekurang-kurangnya kehadiran ribuan pengunjung sejak Jumaat lalu cukup menggembirakan mereka.
Bagi peniaga, kemeriahan itu sebagai permulaan menaikkan semangat mereka agar terus mengusahakan perniagaan masing-masing selepas berdepan situasi suram sebelum ini.
Peniaga dodol dan makanan ringan, Hamzan Malek, 20, berkata, dia mula membawa masuk stok barangan ke kedainya di Pahlawan Walk selepas kedatangan pengunjung semakin bertambah sebaik sahaja dibenarkan merentas negeri.
“Sebelum ini ada waktunya saya tutup sementara kedai. Jika kami terus beroperasi namun tiada pelanggan ada makanan seperti dodol dan lain-lain tidak boleh disimpan terlalu lama, tetapi kini rasa bersyukur melihat kehadiran orang ramai.
“Jualan pun semakin baik berbanding sebelum ini. Walaupun Melaka diisytiharkan tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih awal, pengunjung dari Lembah Klang tetap tidak boleh datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, pengayuh beca, Mohd. Azuan Abdul Shukor, 33, berkata, minggu ini menyaksikan ramai pengayuh beca kembali menyediakan perkhidmatan masing-masing selepas terpaksa berehat lama ekoran ketiadaan pelanggan.
“Alhamdulillah, memang nampak perbezaan ketara apabila pengunjung dari Kuala Lumpur dan Selangor serta negeri-negeri lain dibenarkan ke Melaka kerana kami memang bergantung kepada pelancong luar untuk menghidupkan sektor ini,” katanya.
Bagi peniaga pakaian dan cenderahati, Maisarah Alwi, 42, pula, meskipun orang ramai sudah memenuhi negeri ini tetapi pada masa sama mereka tetap bimbang dengan kemungkinan penularan kes Covid-19 disebabkan angka pandemik itu masih tinggi.
“Kami ambil langkah berjaga-jaga seperti mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan meminta pengunjung imbas kod mySejahtera atau menulis nama di buku yang disediakan kerana dalam keterujaan menerima pelanggan langkah kawalan tetap perlu.
“Tak mahu dalam kita seronok berniaga tetapi mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Tetapi saya yakin setiap daripada kita memainkan peranan masing-masing. Insya-Allah kita dapat membendungnya,” katanya.
Sementara itu, pengusaha inap desa, Ikmal Hakeem, 33, berkata, unit penginapan yang disediakannya berhampiran Banda Hilir menerima tempahan penuh pada hujung minggu sehingga akhir Disember ini.
Katanya, ada beberapa tempahan yang terpaksa ditolak atau diberikan kepada rakan-rakan pengusaha inap desa yang lain kerana tiada unit yang kosong kerana ramai mula membuat tempahan sebaik kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri. – UTUSAN ONLINE










