Yang ada jangan kedekut, yang meminta jangan tamak - Utusan Malaysia

Yang ada jangan kedekut, yang meminta jangan tamak

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Kalau dahulu, cerita politik yang kerap didengar, pembangkang melawan kerajaan. Tapi kini, sejak Perikatan Nasional (PN) memerintah, rakan sesama komponen pula tanpa sembunyi menghentam sekutu lain. Itulah berlaku antara UMNO dan Bersatu.
Persoalannya, apa pandangan satu lagi sekutu iaitu Pas? Adakah pergeseran UMNO-Bersatu, akan mengheret Pas ke kancah kemusnahan gabungan ini? Dan tidakkah tumbangnya PN akan memberi ruang pembangkang berkuasa?
Menjawab persoalan itu, wartawan Mingguan Malaysia, Roshihan Annuar Yub dan Fahmi Faiz, bertemu bual dengan Timbalan Presiden Pas, DATUK SERI TUAN IBRAHIM TUAN MAN di Ibu Pejabat Pas, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
Ikuti wawancara ini, yang turut disertai jurugambar Fauzi Baharudin serta juruvideo Mohd. Fikri Padil @ Fadzil. Dalam wawancara sama, beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, turut menyentuh soal dasar dan polisi kementeriannya.

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana survival PN sekarang?
DATUK SERI TUAN IBRAHIM: Asas kepada pembentukan kerajaan PN ini, adalah kerajaan yang mengambil alih untuk menyelamatkan keadaan. Itu realitinya. Jadi bila kita sedar bahawa itu tujuan ambil alih, iaitu untuk menyelamatkan situasi negara supaya tak jadi lebih teruk, maka kita pun jangka kerajaan (PN) ini bukanlah untuk satu tempoh yang panjang. Mungkin ia sekejap sahaja. Kita perlu dapat mandat baharu dari rakyat. Tetapi takdir Allah SWT berlaku, bila kita ambil alih, berlaku pula pandemik Covid-19. Pada masa sama, kita berdepan masalah tekanan ekonomi, akibat pandemik ini. Hubungan masyarakat berubah, begitu juga dengan sistem hidup.

Bagaimana semua ini mempengaruhi kesatuan Pas dan sekutu dalam PN?
Asas kepada PN ini ada empat parti. Ada UMNO, Pas, Bersatu dan GPS di Sarawak. Dalam konteks GPS ini, saya rasa tiada masalah kerana hubungan baik, tiada masalah. Kemudian baru-baru ini Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kita dapat ambil alih Sabah. Tapi isu besar adalah bagaimana hendak memperkasa Muafakat ini. Jadi Pas, kita duduk bersama dalam Muafakat Nasional (MN) lebih awal daripada kerajaan PN. Kita ada membentuk MN, kita duduk bersama, kita tandatangan memorandum dan kita bentuk piagamnya. Tiba-tiba berlaku perubahan kerajaan, kita pun mendukung kerajaan.

Boleh jelaskan lebih lanjut?
Maksudnya UMNO dukung, Pas pun dukung kerajaan. Ini kerajaan yang dinamakan Perikatan Nasional, bukan kerajaan Muafakat Nasional. Kerana ada parti Bersatu yang sertai kita, dan sebab daripada kumpulan Azmin Ali yang turut serta. Isu sekarang ini, ada dua komponen, satu PN dan satu lagi MN. Pas, asas kita, nak penyatuan. Kalau berpecah, kita akan hilang kekuatan semula. Sebab itu Pas, berbincang dengan UMNO dan kita juga berbincang dengan Bersatu.

Apa matlamat Pas duduk dalam PN?
Hasrat kami supaya ketiga-tiga parti besar ini kena duduk bersama. Jadi MN berjalan, ada lagi mesyuarat dan kita teruskan, cuma dengan PN, Pas pun okay, kita ada perbincangan dan sebagainya. Cuma isu yang mungkin timbul adalah antara UMNO dengan Bersatu.

Siapa yang patut dipersalahkan dalam isu UMNO-Bersatu?
Tak boleh nak salahkan mana-mana pihak, terutama sekali sebahagian itu ada bertanding atas tiket UMNO, menang, kemudian lompat masuk Bersatu. Itu pasti memberi kesan. Kemudian isu pembahagian kerusi, sebab dalam politik ini, jaga kerusi sahaja, meja tak jaga sangat (tertawa). Jadi kita kena selesaikan agihan kerusi, sebab punca perbalahan dan pertembungan politik ini, sebenarnya ialah pengagihan kerusi.

Macam mana hendak selesaikan?
Kena ada pengorbanan. Pas pernah bersama Semangat 46, kita bagi kerusi Pas yang menang kepada Semangat 46. Saya ingat lagi Almarhum Tuan Guru Nik Aziz, beliau pesan satu perkara. Dalam kita berunding kerjasama ini, yang ada jangan kedekut, yang minta jangan tamak. Yang ada, jangan kedekut sampai tak mahu beri langsung kepada kawan-kawan lain, tapi yang minta pun jangan melampau-lampau minta, jangan tamak. Asasnya, kita terpaksa berkorban.

PAS SEDIA BERKORBAN KERUSI

Adakah Pas bersedia berkorban?
Banyak tempat kita korban, contohnya kalau dalam kerusi yang kita bertanding, Pas banyak tempat bertanding lawan UMNO, tapi kalau kita nak bersatu terpaksa lupakan kerusi yang kita hendak bertanding itu.

ELAK TIGA PENJURU

Adakah MN tak yakin boleh bentuk kerajaan tanpa Bersatu?
Nak bentuk kerajaan mungkin boleh, kalau kita tengok unjuran yang kita ada, pembentukan kerajaan itu boleh berlaku dengan UMNO dan Pas, tanpa Bersatu. Tapi isunya, ia akan mendorong kepada pertembungan tiga penjuru. Jadi bila tiga penjuru, tempat-tempat yang marginal ini, risiko akan berpecah. Contohnya di Selangor, di Terengganu pun, sekiranya tiga penjuru, ia akan balik semula kepada keadaan sama semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Oleh itu, kita tak boleh kata parti itu tiada kekuatan. Memang kita akui, parti baharu, akar umbinya tak sebanyak parti UMNO dan Pas yang sudah ada akar umbi sudah lama. Tapi dia ada pengaruh tak? Ada penyokong tak?

AYAH PIN PUN ADA PENGIKUTNYA

Bersatu ada pengaruh di peringkat akar umbi?
Ya, ada. Sebab itu mereka boleh menang PRN Sabah. Jadi sekarang ini kita tengok, mood pengundi sudah berubah. Khususnya generasi baharu, mereka tak terikat sangat dengan parti. Bagi mereka, orang ini ada kemampuan, orang ini mereka nak menang. Jadi winnable candidate, faktor gelombang. Jadi, bagi kami dalam Pas, sikit sebanyak pun, 10 peratus pun kalau lari (undi), ia akan ganggu. Jadi kita nak supaya semua kita duduk bersama. Kalau kita nak bincang permuafakatan, setiap orang ada pengaruh. Kawan-kawan saya ada sebut, sedangkan Ayah Pin pun ada pengikutnya (tertawa).

DAKWAAN PAS-UMNO RENGGANG?

Ekoran sikap Pas terhadap Bersatu, hubungan Pas dan UMNO dilihat renggang. Komen Datuk Seri?
Secara prinsipnya begini, kena beza dari segi kedudukan parti dengan kedudukan kita dalam kerajaan. Pas sebahagian daripada kerajaan yang mendukung PN sebagai anggota kerajaan. Kita mesti dukung kerajaan. Kebetulan kerajaan PN ini didukungi Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bersatu, jadi kita kena beza konsep parti dan mendukung kerajaan PN.

Jadi hubungan baik-baik sahaja?
Ya, hubungan Pas dengan UMNO masih berjalan. Mesyuarat masih ada. Dan mesyuarat dengan PN pun masih berjalan juga. Mungkin sudut yang dilihat bila Pas duduk dalam kerajaan, orang lihat Pas duduk bersama Bersatu. Sebenarnya, kita duduk atas konsep mendukung kerajaan sedia ada. Bagi Pas kita hendak Bersatu sertai bersama. Kita tak nak sangat Pas dengan UMNO bersatu, tapi Bersatu duduk di luar. Sebab kita nak elak tiga penjuru.

PAS SELESA DENGAN
PERDANA MENTERI

Selesa kepimpinan Muhyiddin?
Dalam konteks kerajaan, saya telah diamanahkan menjadi menteri dan banyak bincang bersama. Saya lihat kepimpinan paling baik adalah bila beliau menerima dan duduk mendengar pandangan walaupun berbeza. Walaupun ada pendirian sendiri, namun beliau sedia mendengar. Pandangan, komentar orang dan sedia berkongsi pandangan. Itu kepimpinan yang baik.

Isu surat Zahid kepada Yang Dipertuan Agong. Apa pendirian Pas?
Saya tengok begini, walaupun kami dalam Pas, beliau ada hak masing-masing, kita tak boleh sekat sebab beliau bukan ahli kita. Tapi dalam mendukung kerajaan sedia ada, saya rasa surat itu sangat mengejutkan. Tetapi saya rasa positif juga walaupun ada surat tetapi lepas itu beliau buat kenyataan menyokong PN, menyokong Muhyiddin. Bahkan pagi tadi pun (18 November) saya ada tanya pendirian UMNO, Ahli Parlimen UMNO tentang belanjawan ini, bagaimana? Mereka buat kenyataan UMNO akan sokong, tiada masalah.

PERSETUJUAN KETIGA-TIGA PARTI

Pas lebih cenderung bersama PN berbanding MN?
Apa yang kita buat sekarang ini, asalnya di semenanjung kita bentuk MN. Di Sarawak GPS, di Sabah Gabungan Parti Sabahlah. Kita gabungkan ketiga-tiga ini membentuk PN. PN ini payung bagi menggabungkan ketiga-tiga zon ini.
Dalam konteks semenanjung, MN. Sebab itu kita dengan UMNO kita setuju, pertama setuju minta supaya Bersatu sertai MN. UMNO pun dah setuju, surat rasmi pun sudah hantar dan dia pun sudah jawab setuju. MN akan jadi tiga parti. Pas, Umno dan Bersatu. Perkara ini dah dipersetujui lama dari bulan lepas. Surat persetujuan dari Presiden UMNO, dari Presiden Pas dan Presiden Bersatu, Muhyiddin. Setuju untuk menyertai MN. Surat kita dah terima. Cuma, asalnya dulu kita cadang pada sambutan satu tahun MN, kita nak adakan satu majlis penerimaan Bersatu ke dalam MN.

Bila Bersatu sertai MN secara rasmi, apa jangkaan senario waktu itu nanti?
Hasil daripada itu, ada tiga keputusan, yang pertama menerima Bersatu, yang kedua, Muhyiddin kekal jadi perdana menteri. Dan yang ketiga, Pas, UMNO dan Bersatu setuju tidak ada pertandingan tiga penjuru. Jadi kena kompromi. Jawatankuasa perundingan kerusi kita dah ada, dan kita sudah bincang sikit-sikit di peringkat Pas-UMNO, sebab ini asas yang kita sudah bentuk. Yang keduanya, majlis untuk pengesahan penerimaan Bersatu ke dalam MN, tetapi terpaksa tangguh dahulu kerana Covid dan sebagainya. Tapi pada asasnya surat rasmi pun kita sudah terima dalam sebulan lalu.

Kenaikan elaun Ahli Dewan Undangan Kelantan yang diluluskan dalam situasi Covid, sedang rakyat semakin terhimpit. Komen Datuk Seri?
Pertama sekali, Kelantan ini tak naik elaun waktu orang lain semua naik elaun. Waktu negeri-negeri lain naik sehingga RM11,000, Kelantan masih dalam RM6,000, RM7,000. Jadi bila dicadangkan naik waktu ini, isunya adalah masa (timing). Tapi kerajaan negeri buat keputusan bukan hendak segera. Cadangan itu diterima, tapi bila pelaksanaan, itu tak tahu lagi. Kena tunggu gazetkan, bukan segera cadang, segera naik.

SU AIR SELANGOR

Isu air di Selangor sukar selesai?
Tak dinafikan, isu pencemaran air di Selangor isu berulang dan seringkali berlaku. Ia berulang di tempat yang hampir sama, di loji yang sama. Punca besarnya apabila pencemaran yang disebabkan bau. Hingga kini, kita tiada alat mengesan bau yang kita boleh pasang, tiada teknologi itu setakat ini.
Kedua, kita tak sempat nak notis, sebab ia berbeza dengan berjadual. Kalau berjadual senang, kita beri notis kepada orang ramai, mereka boleh simpan air dan sebagainya. Bila pencemaran melibatkan bau, contohnya ada satu pencemaran diletakkan di tepi sungai yang beri kesan kepada bau. Kita tak boleh lepaskan ke air, kita kena hentikan segera masa itu juga, tanpa notis. Malah, kita tak boleh nak ambil lagi air itu sehinggalah punca pencemar itu dapat kita buang.

ADA SABOTAJ

Wujud unsur sabotaj air di Selangor?
Saya tak nafikan. Kita buat kerjasama dengan pihak polis dan sebagainya dan kita dapat kesan benda-benda yang di luar pemikiran kita. Contohnya, baru-baru ini kita kesan di satu kilang yang lupuskan sisa dalam main hole, dalam lubang tandas mereka. Malah dalam kilang itu pun ada lubang, kemudian dibuang sisa dalam lubang itu dan terus mengalir ke loji.

Kilang di mana?
Yang baru ini, di Rawang pun ada. Jadi bila kita kesan, sekarang ini kita dapat maklumat dari orang ramai, kita serbu kilang-kilang ini. Ini kilang haram lah ya, dan kadang-kadang kilang ini ada yang baru beroperasi, dua tiga minggu misalnya. Tapi ada agenda, ada kerja lain lah, ada benda lain yang mereka sedang buat. Dan kita tahu sebahagian mereka ini mengambil sisa daripada kilang industri. Sepatutnya ia dilupuskan di pusat pelupusan, tapi mereka ambil jalan mudah, dilupuskan di mana-mana tempat yang mereka suka.

Apa penyelesaian kementerian?
Operasi bersepadu telah dilakukan. Contohnya, JAS, LUAS, Air Selangor, SPAN dan PDRM. Namun, disebabkan masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa, maka ia tidak dapat diselesaikan dengan mudah. Pihak industri sebagai contoh perlu mengambil kira kos pengurusan pelupusan sisa buangan terjadual dalam perbelanjaan operasi.

Apa jaminan masalah air
di Selangor dapat diatasi?
Pertama sekali kita kena tingkatkan reserve margin. Di Selangor ini, satu peratus sahaja margin. Jadi kita perlu tingkatkan kepada 20 peratus. Maksudnya, jika kita ada reserve margin yang lebih, bila berlaku pencemaran, reserve itu masih boleh menampung, dan kita tak perlu ambil air daripada sungai.

ISU AIR KELANTAN

Isu air di Kelantan pula, apa faktornya?
Di Kelantan ini, kadar air tidak terhasil (NRW) tinggi, 50.1 peratus dan sebenarnya, hampir di seluruh negara kadarnya hampir sama. Sasaran kita di seluruh negara, kita hendak kurangkan sehingga 20 ke 30 peratus kadar NRW. Jadi, itu antara isu yang berlaku di Kelantan. Bila NRW tinggi, menyebabkan bekalan air tak dapat menampung jumlah pengguna.

Apa kaedah hendak bendung
isu air di Kelantan?
Kita perlu banyakkan loji. Setakat ini kita ada perancangan untuk banyakkan loji di Kelantan supaya penduduk dapat bekalan air mencukupi. Di pihak kementerian kita lihat Kelantan juga perlu dibina Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS). Sebab di negara ini, pelik. Waktu hujan, kita melimpah-limpah air. Bila tiba kemarau, kita tiada air. Maksudnya waktu banjir itu, kita tak manfaatkan lebihan air. Jadi kita perlu buat takungan supaya sumber air kita tidak bermasalah apabila waktu kemarau. -Mingguan Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN