KUALA LUMPUR: Warga asing yang tamat visa atau pas lawatan kerja sementara (PLKS) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh meninggalkan negara ini pada bila-bila masa tanpa memperbaharui pas tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, arahan imigresen pada Mei lalu masih sah dan boleh diguna pakai sampai sekarang.
Menurut beliau, dengan arahan tersebut, warga asing perlu segera meninggalkan negara ini sebelum mereka ditahan, diusir dan dikenakan tindakan senarai hitam.
“Sejak Mei lalu arahan tersebut masih sah dan mereka kena meninggalkan Malaysia secara baik jika dokumen mereka sudah tamat tempoh.
“Kerajaan telah memudahkan proses pulang dengan hanya menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal,” kata beliau.
Selain itu, katanya, seramai 32,655 warga asing serta pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir ke negara asal masing-masing bermula Januari tahun ini hingga 12 November lalu.
“Jumlah itu melibatkan 14,742 warga Indonesia diikuti Bangladesh (4,734); Myanmar (2,995) dan India (2,343).
“Selain itu, seramai 2,211 warga Thailand; 1,892 warga China; Pakistan (1,244); Vietnam (647); Filipina (454); Nepal (404) dan lain-lain negara (989) turut diusir,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Khairul Dzaimee memberitahu, kesemua warga asing dan PATI yang diusir melibatkan pelbagai kesalahan seperti tinggal secara haram kerana tiada dokumen, tamat tempoh pas lawatan kerja sementara(PLKS), tinggal lebih masa dan kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Imigresen 1959/1963.
Jelasnya, imigresen akan memastikan semua yang dihantar pulang selepas dikenakan tindakan penguatkuasaan dan undang-undang akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia.
“Kita sentiasa melakukan operasi secara proaktif dalam memastikan warga asing tidak melanggar undang-undang terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Khairul Dzaimee berkata, kemasukan warga asing didapati menurun secara mendadak susulan syarat ketat kemasukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
Kata beliau, hanya golongan tertentu seperti diplomat asing, penduduk tetap (PR), ekspatriat serta mereka yang mempunyai urusan rasmi kerajaan diberi kelonggaran.
“Langkah ini bagi mengurangkan risko wujudnya kluster baharu dan dan tindakan ini dilihat berjaya kerana berdasarkan pengumuman Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah kes import menurun secara purata kurang daripada empat kes serta tidak melibatkan warga asing secara keseluruhannya,” katanya. -UTUSAN










