‘Terima kasih, siar kisah anak saya’ - Utusan Malaysia

‘Terima kasih, siar kisah anak saya’

MOHAMAD Fakharulzaman Abdul Malik (kiri) bersama isterinya, Rohayati Salleh (dua dari kiri) dan L. Linda Kasturi ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Sungai Ujong, Seremban semalam. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang ibu sebak dan menitis air mata dapat menatap wajah anak sulungnya Mohamad Fakhrulzaman Abdul Malik, 43, setelah mereka terputus hubungan selama kira-kira enam tahun.
Ibu berkenaan,

Maimoo Abdul Jalil

, 60, berkata, dia terlalu rindu kepada Mohamad Fakhrulzaman dan bersyukur dapat kembali menatap wajah anak sulungnya itu setelah be­rita tentangnya disiarkan Utusan Malaysia, Selasa lalu.

“Saya sememangnya terlalu rindukan Mohamad Fakhrulzaman, apabila dapat melihat wajahnya yang disiarkan Utusan Malaysia, saya terlalu sebak ke­rana rindu padanya terubat.

“Saya terkejut kerana tubuh badannya semakin kurus tidak seperti dulu yang mana dia berbadan gempal dan berisi, ibu mana tidak sayu melihat kea­daan anak sebegitu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini semalam.

 

Pada 10 dan 11 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan Mohamad Fakhrulzaman dan isterinya, Rohayati Salleh, 46, tinggal bersama sebuah ke­luarga berbangsa India di Taman Sungai Ujong, Seremban, Negeri Sembilan selepas kedua-dua­nya hidup daif akibat kehila­ngan pekerjaan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

Kerana kesempitan hidup, pasangan suami isteri ber­kenaan terpaksa menjual jam ta­ngan dan peti ais demi meneruskan kehidupan selain untuk membayar bilik yang disewa.

Difahamkan, kedua-dua mereka mempunyai lima orang anak berusia antara tujuh hingga 24 tahun dan ada yang sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan seorang lagi di Indonesia.

Ketika ditemui, Mohamad Fakhrulzaman yang merupakan bekas chef dan kini menghidap strok berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang tinggal dengan keluarga L. Linda Kasturi Loganathan, 39.

Malah jelasnya, mereka sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

Maimoo berkata, biarpun ‘ada kisah di sebalik’ bertahun-tahun lalu antaranya dan Mohamad Fakhrulzaman, tetapi sebagai seorang ibu, dia tetap memaafkan ke­salahan anak­nya.

“Saya telah melupakan segala-galanya kerana bagi saya, dia tetap anak saya dunia dan akhirat,” katanya.

Jelasnya, dia sekeluarga bercadang menjenguk Mohamad Fakhrulzaman di Seremban selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir bagi membantu anak sulung­nya itu.

“Sebagai ibu saya tetap me­nyayanginya dan setiap detik mendoakan kesejahteraan hidupnya,” katanya.

Maimoo dalam pada itu berterima kasih kepada keluarga India tersebut kerana sudi menjaga Mohamad Fakhrulzaman dan keluarganya.

“Saya sangat menghargai jasa baik mereka kerana sudi beri tempat tinggal kepada anak sulung saya,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN