Sejak dunia dilanda pandemik Covid-19, banyak perkara berubah terutamanya cara baharu bekerja. Konsep bekerja dari rumah mula dilaksanakan dengan meluas di seluruh dunia.
Bagi sesetengah pihak, bekerja dari rumah merupakan sesuatu yang selesa dan menggembirakan. Namun, beberapa pihak lain menganggapnya sesuatu yang berbeza dan mencabar serta ada juga tidak selesa untuk dilakukan.
Norma baharu bekerja dari rumah tidak pernah difikirkan atau dibayangkan sebelum ini kerana bekerja di pejabat sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan penjawat awam dan swasta. Lebih-lebih lagi apabila sebahagian besar tugas penjawat awam adalah menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat secara bersemuka.
Apabila bekerja dari rumah, banyak aspek yang perlu dilihat dan difikirkan. Tidak mudah bagi majikan terutama jabatan kerajaan kerana banyak perkara berlu diambil kira seperti integriti, ketelusan dan amanah.
Dari perspektif majikan sendiri, bagaimana untuk memberi kepercayaan kepada kakitangan yang bekerja dari rumah? Budaya bekerja dari rumah memang tidak pernah diamalkan lagi oleh penjawat awam sebelum ini dalam skala besar. Kalau ada pun, hanya segelintir yang mungkin disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Maka pelbagai isu timbul apabila majikan tidak dapat melihat sendiri apa yang dibuat oleh kakitangan mereka semasa bekerja dari rumah.
INTEGRITI
Integriti dalam kalangan kakitangan juga menjadi persoalan. Integriti merupakan elemen yang sangat penting kerana ia mempengaruhi emosi, kerjaya, kewangan dan budaya kerja fizikal kakitangan di pejabat. Apabila proses kerja dilakukan di rumah, adakah kakitangan menjalankan tugasan yang diberikan dengan amalan integriti kerana tiada sesiapa yang boleh memantau apa yang mereka lakukan?
Di sinilah perlu wujudnya kepercayaan dan integriti yang tinggi antara majikan dan kakitangan. Bagi merealisasikan budaya kepercayaan dan integriti ini, elemen KhAIR – (Khalifah, Amanah, Iqra’ dan Rahmatan lil’ Alamin) adalah salah satu cara yang diterapkan dalam kalangan kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Penerapan elemen-elemen ini perlu. Apabila kakitangan mempunyai kesedaran sebagai khalifah yang dijadikan oleh Allah S.W.T di muka bumi ini untuk melaksanakan segala tanggungjawab yang dilakukan dengan sifat amanah, ia boleh diterapkan apabila mereka mempunyai ilmu pengetahuan melalui iqra’. Dengan itu, kepercayaan majikan dan elemen integriti sudah tidak menjadi isu.
Faktor disiplin dan produktiviti bekerja dari rumah juga perlu dilihat. Disiplin bekerja dari rumah amatlah sukar untuk dilakukan apabila banyak faktor persekitaran yang mempengaruhi fokus kakitangan untuk menjadi lebih produktif. Fasiliti yang tidak mencukupi seperti ruang bekerja dan suasana tidak kondusif dan tidak selesa juga akan memberi impak kepada keberkesanan bekerja dari rumah.
ANAK
Kakitangan yang sudah berkeluarga akan memikirkan hal anak-anak yang ada di rumah dan kerja-kerja rumah lain. Apabila tiada disiplin, maka produktiviti kerja juga terjejas dan ini akan memberi impak yang tidak baik kepada majikan dan organisasi.
Majikan juga perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu ini. Proses kerja yang jelas dan jadual kerja teratur perlu disediakan oleh majikan agar kakitangan dapat menjalankan tugas-tugas diberikan secara berkesan dan produktif. Ini juga berkaitan dengan penentuan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan disiplin kerja dalam kalangan kakitangan berjalan lancar dan berkesan.
Persoalan yang selalu timbul dalam kalangan majikan, bagaimana melakukan pemantauan dengan cara paling berkesan untuk membuat penilaian prestasi? Namun, hal berkaitan pemantauan dan penilaian tidak akan timbul apabila kedua-dua pihak mempunyai elemen KhAIR. Apa yang penting dan utama ialah kakitangan perlu mempunyai sifat amanah dalam menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan berkesan.
Majikan pula perlu memberikan sokongan sepatutnya agar kakitangan yang bekerja dari rumah tidak tertekan. Di sini amat perlu prinsip kesamarataan atau menang-menang antara majikan dan kakitangan dalam isu pemantauan.
UIAM memberi kelonggaran kepada kakitangan untuk log masuk dan log keluar kedatangan atau keberadaan mereka menerusi sistem Huris (Human Resource Information System) yang boleh diakses di mana sahaja. Kakitangan perlu memenuhi lapan jam waktu bekerja walaupun mereka bekerja bukan di pejabat.
Salah satu cabaran majikan apabila ketiadaan dan keberkesanan capaian internet yang memuaskan bagi memudahkan kakitangan melakukan kerja. Capaian internet yang stabil perlu disediakan bagi menyokong pelaksanaan bekerja dari rumah. Seperti di UIAM sendiri, bagi meringankan beban kakitangan sokongan, bantuan RM50 sebulan diberikan kepada yang layak sekiranya di rumah mereka tiada capaian internet yang baik. Selain itu, peminjaman komputer riba juga diberikan kerana ada sebahagian kakitangan sokongan tidak mempunyai kemudahan komputer di rumah mereka. Keprihatinan serta sokongan majikan amatlah penting bagi meringankan waktu sukar yang dihadapi oleh kakitangan. Di sinilah konsep humanity atau kemanusiaan perlu diutamakan.
BERPASUKAN
Bekerja di pejabat akan menimbulkan elemen kerja berpasukan untuk melahirkan budaya kerja yang lebih produktif. Namun, bekerja dari rumah akan menyebabkan kakitangan melakukan kerja berseorangan dan tiada penyelia atau rakan sepejabat untuk rujukan. Kerja berseorangan juga boleh menyebabkah kakitangan berasa tertekan.
Di sini, majikan perlu memainkan peranan untuk memastikan kakitangan tidak mengalami tekanan semasa melakukan kerja dari rumah. Kesihatan mental kakitangan perlu diambil kira. UIAM memperkenalkan Profil Sejahtera dan Kaunseling di mana kaji selidik ditumpukan kepada frontliner dan kakitangan yang mempunyai risiko tekanan mental bagi mengetahui sejauh mana tahap tekanan yang mereka hadapi ketika Covid-19.
Di sinilah konsep Insan Sejahtera perlu dipupuk dan direalisasikan agar kesejahteraan antara majikan dan kakitangan sentiasa berkekalan demi organisasi dan negara ‘Sejahtera’. Konsep Falsafah Pendidkan Kebangsaan sangat jelas dan nyata di mana insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan sosial patut dipupuk dari awal lagi bagi mewujudkan kesejahteraan hidup dalam apa juga keadaan.
PENULIS ialah Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










